Wednesday, May 27, 2015

SINOPSIS RANJAU SEPANJANG JALAN

Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) merupakan salah satu novel yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad yang banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung Benggol, Derdep Sik Kedah. Berlatar belakangkan kampung halaman penulis sendiri iaitu Shahnon Ahmad, beliau membawa kita menghayati dan menginsafi keperitan dan kesengsaraan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada masa dahulu agar generasi sekarang sedar dan insaf bagaimana perih dan susahnya untuk mendapatkan sesuap nasi bagi meneruskan kesinambungan hidup. Lazimnya, kemiskinan itu dikaitkan dengan kesengsaraan dan penderitaan dan orang miskin dikatakan sering melarat hidupnya. Oleh itu, orang lebih membicarakan kemiskinan dari sudut material dan ekonomi semata-mata sehingga kemiskinan itu dikaitkan dengan sikap malas berusaha. Bagi Shahnon Ahmad, kemiskinan bukanlah sesuatu yang harus dimalukan. Beliau melihat kemiskinan itu sebagai satu nilai yang yang murni dan tidak membicarakan kemiskinan tersebut dalam konteks yang negatif. Kebanyakan novel yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad ini banyak berkisar tentang kemiskinan dan kehidupan orang kampung dan petani desa. 

RSJ ialah sebuah novel yang memaparkan kehidupan sepasang suami isteri dan tujuh anak gadisnya yang menjadi sebahagian daripada masyarakat petani di sebuah desa yang terpencil dan terpinggir daripada pembangunan fizikal dan mental. Lahuma dan Jena serta anak-anak mereka ialah petani yang mendiami sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Banggul Derdap. Hidup mereka seperti petani yang lain, umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka ialah pesawah yang miskin yang terpaksa menggunakan kudrat empat kerat itu untuk membina petak-petak sawah yang rapuh itu dan kemudian menanamnya dengan benih-benih padi. Traktor sebagai lambang pembangunan moden dalam bersawah dinikmati oleh yang berada dan berkuasa sahaja seperti Tok Penghulu. Kisah dalam novel ini bermula daripada kehidupan keluarga Lahuma bersama isterinya Jeha dan 7 orang anak perempuan mereka iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Kiah, Liah, dan Lebar yang sama-sama berjuang mengusahakan sawah sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Hidup mati keluarga ini sangat bergantung kepada hasil padi-padi tersebut. Apa yang difikirkan oleh Lahuma ialah survival keluarganya. Maka sawah yang seluas empat belas relung itu diusahakan dengan bersungguh-sungguh supaya padi sentiasa di kepuk untuk dijadikan beras dan seterusnya nasi untuk keluarganya.

Bagi Lahuma, beliau bersama dengan keluarganya menggunakan cara tradisional untuk mengusahakan sawah mereka. Beliau bukan sahaja tidak mampu menyewa traktor, jauh sekali memiliki traktor yang mahal itu, tetapi sawahnya juga tidak mempunyai sistem pengairan yang moden yang membolehkan beliau mengusahakan penanaman padi dua kali setahun seperti zaman sekarang ini. Sehubungan itu, pendapatannya cukup 3 untuk sara diri dan keluarga sahaja dan tidak boleh menabung untuk menambah keluasan sawah yang ada atau menyewa traktor yang dimiliki oleh Tuk Penghulu. 

Selain masalah mengusahakan sawahnya secara berkesan, Lahuma juga merasa bimbang bahawa keluasan sawahnya akan semakin mengecil apabila nanti diagihagihkan kepada anak-anaknya yang tujuh itu. Bukan itu sahaja, kegiatan mengadai tanah juga terjadi kerana kesempitan wang untuk hidup. Dahulu bapanya mempunyai dua puluh relung sawah tetapi kerana tergadai kepada Cina, tinggal empat belas relung sahaja. Beliau bemasib baik kerana empat belas relung itu menjadi miliknya kerana beliau ialah anak tunggal. Pada masa depan, Lahuma pasti anak-anaknya akan mempunyai petak-petak sawah yang semakin mengecil setelah empat belas relung sawah itu diagih-agihkan kepada mereka. 

Perjuangan Lahuma sebagai ketua keluarga telah memberikan impak yang begitu besar terhadap keluarganya sehingga akhirnya Lahuma telah kecundang akibat terpijak onak duri nibung dan akhirnya meragut nyawanya sendiri. Kedaifan dan kesengsaraan keluarga petani ini semakin bertambah buruk setelah pemergian Lahuma dan Jeha yang merupakan isteri Lahuma bersama-sama 7 orang anak perempuan mereka itu pula memikul beban dan tanggungjawab yang begitu besar dalam mengerjakan sawah dengan begitu banyak rintangan dan cabarannya. Jika sebelum ini, selalunya Lahuma yang mengerjakan sawah tersebut dengan bantuan Jeha, namun setelah pemergian Lahuma semuanya dilakukan sendirian oleh Jeha bersama anak-anaknya. Malangnya, Jeha tidak dapat bertahan dengan segala rintangan dan cabaran yang mendatang seperti banjir, serangan ketam-ketam putih dan burung-burung tiak yang memakan padi-padi di sawah tanpa Lahuma di sisinya. 

Banjir, serangan ketam-ketam putih dan burung-burung tiak ini telah menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya menjadi gila serta secara tidak langsung meninggalkan beban kepada anak-anak perempuannya terutamanya kepada Sanah yang merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut. Di sini Sanah berperanan sebagai ketua keluraga, ibu, dan ayah kepada adik-adiknya.


No comments:

Post a Comment