Monday, May 18, 2015

HIKAYAT HANG TUAH

PEMIKIRAN

Isi yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ialah terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian-bahagian tersebut ialah zaman awal, zaman kegemilangan dan zaman kemerosotan.

Zaman awal

Dalam bahagian ini akan menceritakan kisah Hang Tuah semasa kecil iaitu semasa pembukaan kota Melaka. Kisah akan dimulai dengan memperkenalkan asal usul raja Bentam yang dikatakan berasal daripada Palembang. Dalam bahagian ini juga ada mengisahkan tentang keluarga Hang Tuah yang berpindah dari Sungai Duyung ke Bintan. Kisah mengenai Hang Tuah lima bersaudara turut diceritakan dalam bahagian ini. sejak berumur 10 tahun lagi Hang Tuah telah menunjukkan kelebihan dan keberaniannya. Hang Tuah dan saudaranya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu telah berjaya mengalahkan lanun, berusaha pergi berburu dan berjaya menyelamatkan seorang pembesar daripada amukkan orang mengamuk dengan menggunakan sebilah kapak. Pembesar yang telah diselamatkan oleh Hang Tuah ialah bendahara, bendahara sangat tertarik dengan keberanian Hang Tuah dan telah memaklumkan kepada sultan tentang kehebatan yang dimiliki oleh Hang Tuah dan sultan telah mengambil Hang Tuah untuk bekerja di istana. Terdapat juga cerita bagaimana Hang Tuah turut melihat peristiwa ganjil sewaktu Raja Bentan berburu di mana anjing perburuan raja telah ditendang oleh seekor pelanduk putih. Tempat berlaku kejadian aneh itu dibuka dan dijadikan negeri sempena nama yang diberikan iaitu Melaka bersempena dengan nama pokok ketika raja melihat kejadian tersebut. Hang Tuah juga turut berada di sisi raja ketika berlakunya peristiwa itu. Raja telah menghadiahkan sedikit minuman kepada Hang Tuah dan bendahara juga turut memberikan persalinan kepada Hang Tuah.

Bahagian kegemilangan.

Kegemilangan kerajaan Melaka dengan ketokohan dan kepahlawanan Hang Tuah. Hang Tuah memiliki kedudukan dan keistimewaan yang tinggi di istana Melaka. Hang Tuah merupakan pahlawan yang gagah dan sanggup memberikan sepenuh taat setia kepada negara. Kegagahan Hang Tuah menyebabkan dia terkenal dan dihormati oleh masyarakat pada ketika itu, kepahlawanannya juga menjadi kebanggaan masyarakat Melayu hari ini. Banyak negeri yang telah dan menjadi negeri jajahan takluk Melaka. Hang Tuah pernah mengiringi raja Melaka ke Majapahit dan ini menggambarkan ketaatan dan keberanian yang dimiliki oleh Hang Tuah. Melaka berjaya mencapai puncak kebesaran dan kekuasaannya hasil daripada keberanian dan ketokohan Hang Tuah. Sebagai seorang pahlawan yang tiada tolak bandingnya, ramai musuh-musuh yang cuba menganiayanya telah berjaya dibunuh. Hang Tuah juga memiliki sifat sabar, bijaksana dan warak sehinggakan membawakan kejayaan yang cemerlang kepada kerajaan Melaka dan telah meningkatkan kedaulatan raja Melaka. Sifat Hang Tuah yang amat dikagumi adalah ketaatannya yang sangat tinggi terhadap raja. Hal ini terbukti apabila raja berlaku tidak adil terhadap Hang Tuah iaitu dengan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa akibat daripada fitnah yang dibuat terhadap dirinya. Hang Tuah telah diselamatkan oleh bendahara yang ketika itu yakin bahawa Hang Tuah tidak melakukan kesalahan yang telah difitnahkan terhadapnya. Tetapi apabila ia dipanggil oleh sultan bagi menghapuskan perbuatan derhaka Hang Jebat, dia bersedia bekhidmat kepada sultan tanpa menaruh perasaan dendam. Malah dia sanggup membunuh sahabat baiknya Hang Jebat, walaupun Jebat menderhaka kerana membela keadilan. Bagi Hang Tuah, ‘Pantang Melayu menderhaka kepada rajanya.’ Hang Tuah juga bersedia menjalankan tugas membawa lari anak bendahara Pahang, Tun Teja bagi dipersembahkan kepada sultan Melaka. Hang Tuah tidak dikalahkan selagi ia memiliki keris Taming Sari.

Zaman Kemerosotan

Kegemilangan dan kekuatan Hang Tuah semakin berunsur pudar setelah Hang Tuah semakin tua. Hal ini dikaitkan juga dengan kemunduran kerajaan Melayu Melaka. Dalam hikayat Hang Tuah kemunduran Melaka kali pertamanya dilambangkan dengan kisan sultan Melak yang telah kehilangan mahkotanya. Mahkota itu adalah tanda kebesaran kerajaan. Ketika peristiwa itu terjadi, baginda sedang bermain-main di laut Singapura, apabila Baginda menundukkan kepalanya setelah melihat seekor ikan emas yang dikatakan berada di bawah perahunya. Ketika itulah mahkota pusaka Bukit Siguntang itu terjatuh ke dalam laut. Hang Tuah telah menyelam untuk mengambil kembali mahkota tersebut dan berhasil mengambilnya. Tetapi ketika hampir sampai di perahu, tiba-tiba datang seekor buaya putih menyambar keris daripada pinggang Hang Tuah. Mahkota pun terlepas dari tangannya dan keris Taming Sari yang dimiliki oleh Hang Tuah telah dirampas oleh seekor buaya putih. Sejak itulah Hang Tuag hilang kekuatan dan kegagahannya. Selepas berlaku peristiwa tersebut ,sultan amat bersedih. Beberapa lama kemudian, Feringgi datang menyerang Melaka. Sultan terpaksa berundur dan Hang Tuah meninggalkan kehidupan di dunia dengan hidup bertapa di gunung.

No comments:

Post a Comment