Monday, May 18, 2015

NILAI BUDAYA

Budaya adalah daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture yang berasal daraipada perkataan Latin iaitu colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan. 

Budaya merupakan sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau. Budaya turut merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain, budaya ini boleh dikatakan sebagai sebuah konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT), terdapat beberapa nilai budaya yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup masyarakat pada zaman tersebut. 

Budaya kecintaan terhadap ilmu bahasa 

Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) ini, pengarang menyifatkan Hang Tuah sebagai seorang yang mencintai ilmu bahasa sejak kecil lagi. Kecintaannya pada ilmu bahasa sejak kecil ini seolah-olah sebagai pelengkap diri untuk menjadi seorang diplomat yang harus berinteraksi dengan manusia lain. Dengan mengetahui bahasa sesuatu bangsa lain maka mudah seseorang itu berinteraksi dan menempatkan diri sejajar dengan nilai dan budaya bangsa yang ditemui. Bahasa disini bukan sekadar pertuturan tetapi termasuklah budaya. Dalam hal ini, pengarang HHT seolah-olah telah merancang bahawa Hang Tuah yang gemar belajar itu akan menjadi diplomat apabila dia dewasa. Sejak kecil juga, Hang Tuah bukan sahaja mempelajari pelbagai ilmu bahasa, malah mempelajari ilmu lain seperti mengaji al-Quran, ilmu mempertahankan diri dan sebagainya. Contoh petikan yang menunjukkan Hang Tuah ini mencintai ilmu bahasa ialah: 

Telah sudah tamat pengajiannya, maka ia berkata kepada bapanya, “Ayuh bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta, beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hang Tuah pun berkata pada bapanya hendak mengaji pada lebai Siam pula diketahuinya akan bahasanya. 

(Hikayat Hang Tuah: 23) 

 Budaya masyarakat yang memperlihatkan nilai-nilai keperwiraan pada zaman feudalnya

Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai wakil masyarakat memperlihatkan nilai-nilai keperwiraan yang didukung oleh masyarakat itu. Inilah determinisme atau ketentuan sosial dan sejarah. Namun demikian, masyarakat sebagai suatu kumpulan individu yang memiliki impian sejagat kemanusiaan sentiasa berjuang untuk melampaui batasan sosial dan sejarah itu, prinsip ketaatan mutlak kepada raja itu prinsip feudal, ia bercanggah dengan cita-cita keadilan yang terpendam dalam jiwa manusia. prinsip kedua inilah yang menyebabkan Hang Jebat memberontak terhadap rajanya sedangkan prinsip pertama membuat Hang Tuah menerima hukuman mati yang dikenakan oleh raja terhadapnya dan kemudian mnghalalkannya membunuh Jebat sebagai penderhaka. 

    Nilai-nilai keperwiraan yang dimiliki oleh Hang Tuah ini ditonjolkan dengan pelbagai keistimewaan. Salah satu daripadanya ialah apabila Hang Mahmud bermimpi bahawa bulan turun dari langit dan cahaya bulan tersebut memancar penuh di atas kepala Hang Tuah. Bukan itu sahaja, keperwiraan Hang Tuah juga ditonjolkan dengan kemahirannya menggunakan keris taming sari. 

Budaya masyarakat Melayu yang mempercayai kedaulatan pada raja atau sultan yang memerintah 

Sultan atau raja dalam HHT merupakan ketua pentadbir kerajaan Melaka yang sangat dihormati dan disanjungi oleh masyarakat Melayu di Melaka pada zaman tersebut. Masyarakat Melayu tradisional amat mempercayai kedaulatan yang ada pada raja atau sultan yang memerintah. Bahkan, waris raja atau sultan juga dianggap sebagai golongan yang memiliki kedaulatan. Ungkapan daulat digunakan dalam setiap komunikasi dengan raja iaitu dalam setiap permulaan kata-kata atau dalam setiap perbualan antara pembesar atau rakyat dengan raja bagi menunjukkan sembah hormat mereka terhadap raja. Daulat juga digunakan bagi menggambarkan kebesaran raja yang menjadi pegangan semua rakyat supaya taat dan setia terhadap raja. Penggunaan kata daulat boleh dilihat dalam teks di bawah: 

“Daulat tuanku, patik sekalian ini hamba yang daif lagi hina memohonkan ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam. 

(Hikayat Hang Tuah: 17) 

Daulat bukan sahaja melambangkan kebesaran raja atau sultan pada zaman kesultanan Melaka, tetapi juga melambangkan betapa sultan pada masa tersebut mempunyai satu kuasa yang luar biasa. Sehinggakan sesiapa sahaja yang menderhaka kepada sultan atau raja akan mendapat bala, walaupun tidak secara terang-terangan. Oleh sebab daulat inilah menjadikan masyarakat Melayu sebagai masyarakat yang amat taat dan setia kepada sultan. Daulat melambangkan kemuliaan dan kesuciaan raja, maka disebabkan itu rakyat menganggap bahawa sultan tidak boleh dihina atau dicaci. Penghinaan terhadap raja atau sultan secara langsung atau tidak langsung akan membawa kemudaratan kepada mereka. 

 Budaya Kasih sayang dan Meraikan Tetamu 

Kasih sayang merujuk kepada nilai budaya yang bersifat semula jadi dan bersifat ‘aradhi’ (mendatang). Kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain atau kepada selain manusia, iaitu benda-benda dan makhluk lain. Antara perkara-perkara yang menarik hati seseorang manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan sebagainya. dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat bagaimana nilai kasih sayang diterapkan oleh pengarang. Nilai kasih sayang ini dapat dilihat melalui hubungan ibu, bapa dan anak, sebagai contohnya: 

Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejutlah lalu bangun daripada tidur, lalu diriba anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh. Didengar oleh ibu Hang Tuah kata suaminya itu, maka segera dilangirinya dan dimandikan anaknya itu. Maka diberinya berkain dan berbaju dan destar serba putih. Maka diberinya makan nasi kunyit dan telur ayam dan pemberi arwah akan orang tua-tua dan disuruh bacakan doa selamat. 

(Hikayat Hang Tuah: 22) 

Dalam petikan di atas, kita dapat melihat nilai kasih sayang seorang ibu dan bapa kepada seorang anak. Sifat penyayang Hang Mahmud dan Dang Merdu terhadap Hang Tuah ini digambarkan dengan pelukan dan ciuman yang diberikan kepada Hang Tuah serta segala kelengkapan dan keperluan Hang Tuah diberi keutamaan seperti makanan, pakaian, ilmu pengetahuan dan sebagainya. 

         Seterusnya, budaya atau amalan meraikan tetamu juga merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melayu. Tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaik mungkin, malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya. Antara contoh petikan dalam Hikayat Hang Tuah yang menggambarkan orang Melayu menghormati tetamu ialah seperti di bawah berikut: 

Berapa lamanya belayar itu maka sampailah ke Bentan. Maka segala orang kaya-kaya dan segala rakyat dalam negeri itu pun sekalian datang menyambut raja dengan segala bunyi-bunyian terlalu gempita bunyinya. Maka sekalian pun sujud mengatakan, “Daulat Syah Alam.” Maka Sang Maniaka pun disambut oranglah, dinaikkan ke atas tandu. Maka payung iram kuning pun terkembanglah dan gendang arak-arakan pun dipalu oranglah. 

(Hikayat Hang Tuah: 18) 

No comments:

Post a Comment