Monday, May 18, 2015

TEKNIK KEPENGARANGAN

Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kebijaksanaan seseorang pengarang itu dalam berkarya.Kebiasaanya, kepengarangan dapat menerangkan tentang kekuatan, keistimewaan serta kelemahan seseorang pengarang dalam karyanya.Kepengarangan dianalisis dari aspek keperibadian yang berjaya dicapai oleh pengarang. Keperibadian adalah kemuncak kejayaan bagi seorang pengarang (Mohd Rashid Md Idris et al. 2014: 96-98).

Keagungan karya tradisional Melayu sebenarnya terlihat pada kebijaksanaan dan kehandalan pengarangnya dalam mengolah cerita.Pada asasnya, tugas seorang pengarang ialah pewaris kepada yang empunya cerita.Keadaan ini membayangkan kepada kita bahawa karya sastera Melayu tradisional adalah milik bersama masyarakat.Hikayat Melayu adalah cerita dan kisah agung tentang bangsa Melayu dan latar ceritanya pula merupakan pentas agung kisah Melayu dengan puluhan malahan ratusan tempat dan peristiwa.

Teknik Kepengarangan Hikayat Hang Tuah

Jika dikaji, tidak dapat ditentukan bila tarikh Hikayat Hang Tuah ini ditulis dan siapa pengarangnya. Namun ada yang menganggarkan bahawa Hikayat Hang Tuah telah ditulis di antara tahun 1641 dan 1736. Jika diteliti isi kandungan dalam Hikayat Hang Tuah, pengarangnya dikatakan mungkin tidak pernah membaca Sejarah Melayu. Terdapat bukti-bukti kuat yang menyatakan bahawa hikayat ini sebenarnya tidak diambil daripada Sejarah Melayu. Hal ini demikian kerana, sejarah bukanlah perkara yang dipentingkan dalam Hikayat Hang Tuah. Namun begitu, pengarangnya dilihat sebagai seorang yang intelek dan banyak membaca dan ini telah diperjelaskan oleh Sulastin:

Pengarang Hikayat Hang Tuah pada zamannya termasuk orang yang berpengalaman luas. Ia pasti banyak membaca dan mendengar. Ia tahu dengan baik dari sejarah sasteratatacara serta keadaan semua negara yang pernah berhubungan dengan Melaka dalam perjalanan sejarah. Dalam dunia rekaannya ia menciptakan keadaan atau kenyataan fiksional yang menggambarkan Melaka merebut supremasi dunia, maka ia memberikan penafsiran literer. Ada dugaan bahawa ia banyak menggunakan sumber-sumber sastera bertulis, terbukti dengan terdapatnya unsur panji, Hikayat Seri Rama, Bustanu’s salatin, Hikayat Pandawa Lima dan sebagainya. (Sulastin, 1983:66)

Penghasilan karya ini tidak bermaksud untuk menghasilkan satu watak atau perwatakan yang biasa, sebaliknya pengarang hendak menghasilkan satu watak yang luar biasa daripada watak orang biasa iaitu Hang Tuah. Terdapat beberapa peristiwa yang ada di dalam Hikayat Hang Tuah disebut di dalam Sejarah Melayu. Namun begitu, pengarang Hikayat Hang Tuah tidak begitu mempedulikan kronologi sejarah, iaitu zaman agung kerajaan Majapahit adalah di antara tahun 1331 hingga tahun 1354 disamakan dengan zaman agung kerajaaan Melaka iaitu antara tahun 1456 hingga tahun 1511.

Selain itu, pengarang Hikayat Hang Tuah juga tidak begitu mengendahkan fakta-fakta bahawa manusia sebenarnya tidak boleh hidup buat selama-lamanya. Pengarang menyatakan bahawa Hang tuah tidak mati. Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh karajaan Melaka didirikan lagi iaitu kira-kira pada tahun 1403 sehinggalah pada tarikh jatuhnya kerajaan Melaka pada tahun 1511. Namun begitu, kematian meraka tidak langsung disebut dan seolah-olah mereka tidak mati.

Menurt Winstedt (1985), cerita asal Hikayat Hang Tuah mungkin datangnya daripada sumber lisan. Hal ini demikian kerana, tiada sumber kukuh yang menyatakan bahawa hikayat ini didasari daripada sejarah Melayu walaupun tidak kurang daripada 15 peristiwa yang dicatat terdapat dalam hikayat ini. Pelbagai konsep diterapkan oleh penulis dalam Hikayat Hang Tuah antaranya ialah dari aspek bentuk, tulisan, bahasa asing, pengulangan kata dan penggunaan kosa kata klasik.

Hikayat Hang Tuah merupakan sastera tulisan yang berbentuk cerita atau naratif. Pengarang dilihat sangat kreatif dan berseni kerana dapat menampilkan karya tersebut dalam bentuk yang menarik dan indah dari segi persembahannya. Pengarang berupaya melukis segala kisah atau gambaran masyarakat Melayu dengan hidup yang indah .Selain itu, beliau juga berupaya menceritakan sesuatu episod dengan jelas sehingga berjaya mengusik perasaan pembacasama ada kagum, sedih, menyayat hati, meriah dan riang gembira. Misalnya, peristiwa Hang Jebat Mengamuk digambarkan dengan suasana yang ngeri dan ganas.

“Maka Hang Jebat pun lalu keluar mengamuk di tengah pasar itu. Maka orang Melaka pun beribu-ribu mati dan luka daripada luka-luka dan perempuan. Maka negeri Melaka pun huru haralah. Maka Hang Jebat pun masuk mengamuk daripada suatu kampung kepada suatu kampung, daripada lorong kepada suatu lorong, daripada suatu tempat kepada suatu tempat itu, banyak mati dan luka; keluar masuk membunuh seperi orang gila.Maka bangkai pun bertimbun-timbun, pada segenap lorong dan segenap kampung dan pintu dan jambatan penuh dengan bangkai.”

(Hikayat Hang Tuah, 1997: 365)

No comments:

Post a Comment