Monday, May 18, 2015

PANDANGAN HIDUP

Kamus Dewan (2010) mendefinisikan istilah ‘pandangan’ kepada beberapa maksud iaitu hasil perbuatan memandang, apa-apa yang terlihat (tergambar) di mata hasil daripada perbuatan memandang, apa-apa yang menjadi perhatian dan juga bermaksud anggapan. ‘Hidup’ pula mempunyai terlalu banyak maksud, namun dalam konteks ini, istilah ‘hidup’ sesuai didefinisikan sebagai keadaan yang sebenarnya atau dilihat (lukisan, cerita dan lain-lain). Apabila dua istilah ini disatukan menjadi pandangan hidup, maka dapatlah difahami bahawa ‘pandangan hidup’ merujuk kepada ‘anggapan terhadap keadaan yang sebenarnya atau dilihat’. 

Menurut Mohd Rashid Md. Idris, Abdul Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya (126: 2014), konsep pandangan hidup secara umumnya mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, mereka turut berpendapat bahawa pandangan hidup merupakan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat, khususnya orang Melayu mempunyai pandangan hidup yang lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan hubungan sesama manusia serta terperinci kepada tiga bahagian iaitu bahagian keluarga, pemimpin dan masyarakat.

Pandangan hidup dalam Hikayat Hang Tuah melibatkan cara idealisme pengarang dalam menonjolkan pemikiran, falsafah, peraturan dan kepercayaan orang Melayu pada ketika itu. Sehubungan itu, pandangan hidup dalam hikayat ini boleh dikaitkan dengan pegangan-pegangan masyarakat Melayu terhadap sesuatu perkara yang khususnya memberikan impak positif dan negatif terhadap kehidupan mereka. Dalam proses meneliti konsep pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, pengkhususan dibuat kepada konsep falsafah, pegangan atau kepercayaan, peraturan atau adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu atau lakaran watak Hang Tuah itu sendiri. Pandangan hidup atau falsafah hidup tersebut akan berfokus kepada pandangan hidup berteraskan Islam dan Melayu. 

Pandangan Hidup Berteraskan Islam

Pandangan hidup berteraskan Islam merupakan pendekatan pengarang dalam memasukkan beberapa falsafah hidup yang mengikuti ajaran Islam dan hukum syarak. Misalnya dalam Hikayat Hang Tuah, pandangan hidup berteraskan Islam dapat dilihat melalui konsep keadilan, perkahwinan dan konsep dosa. Antara huraian adalah seperti berikut:

Konsep keadilan

Pengarang meletakkan konsep keadilan ini melalui sistem pentadbiran. Contohnya, Raja Sang Maniaka dibantu oleh Bendaharanya, Paduka Raja. Raja merupakan ‘payung’ yang melindungi rakyatnya. Pentadbiran negara dilakukan dengan adil dan saksama sebagaimana yang ditunjukkan dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam teks-teks itu telah diberi pengajaran bahawa kezaliman raja, sikap tamak, perbuatan rasuah, penyelewengan kuasa adalah faktor yang menghancurkan negara. Sebaliknya, keadilan, kesepakatan, persefahaman dan kesetiaan adalah kunci penting dalam menjaga keselamatan negara.

Konsep perkahwinan

Perkahwinan yang berlandaskan hukum syarak melarang umat Islam berkahwin dengan pasangan yang mempunyai pertalian darah mahupun saudara susuan. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah menyentuh tentang perkahwinan yang mengikut hukum syarak seperti contoh petikan di bawah:

“ Maka dipeluk dan dicium akan menantunya tuan puteri itu. Maka Sang Perta Dewa pun berlengkap akan pekerjaan anakanda baginda Sang Sapurba kahwin dengan tuan puteri itu.” 

(Hikayat Hang Tuah, 11)


Petikan menjelaskan bahawa Sang Sapurba mengikut hukum syarak dalam konsep perkahwinan melalui perkahwinan baginda dengan seorang puteri yang tidak mempunyai hubungan pertalian darah dengannya.

Konsep dosa

Konsep dosa ini menunjukkan satu bentuk falsafah atau pandangan hidup masyarakat Melayu zaman feudal, terutamanya dalam watak Hang Tuah. Menurut Mohd Yusoff Hashim (22:2008), masyarakat Melayu yang meletakkan konsep menderhaka sehingga meletakkannya sebagai satu dosa yang besar kerana terdapatnya kewajipan bagi rakyat taat setia kepada Allah, Rasul dan raja (ketua atau pemimpin) agar mendapat keberkatan dunia dan akhirat. Hal ini boleh dirakamkan secara eksplisit oleh pengarang Hikayat Hang Tuah dalam memetik ucapan Hang Tuah kepada rakannya Hang Jebat yang dikatakan ‘derhaka’ kepada raja, contoh petikan:

“Adapun pekerjaanmu itu…. berapa-berapa dosanya kepada Allah, tiada tertanggung olehmu di dalam akhirat jemah” 

(Hikayat Hang Tuah, 315)

Hal berikut dapat dihubungkaitkan dengan perintah Allah di dalam Al-Quran, ayat 59; Surah An-Nisa’ dengan firman-Nya berbunyi “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad) dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu…” Berdasarkan pendekatan dimensi ini, nyatalah taat setia Hang Tuah kepada raja dan kerajaan Melaka bukan setakat mengandungi ertian sekularnya dan pada konteks pemikiran Melayu dalam membina sebuah tamadun, malah menepati konsepsi kepimpinan dan selaras dengan aturan hidup beragama yang berteraskan Islam.

Pandangan Hidup Berteraskan Melayu

Penelitian pendekatan pengarang terhadap pandangan hidup berteraskan Melayu dapat dilihat atau digambarkan tentang ciri-ciri masyarakat Melayu dan konsep kemelayuan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Antara konsep-konsep pandangan hidup yang berteraskan Melayu melibatkan konsep sistem pentadbiran, pewarisan takhta, kepentingan sifat budi pekerti, kehebatan dan taraf Laksamana, pembentukan keperibadian, kedaulatan raja, kepentingan menjaga maruah, dan pantang larang. 

Sistem pentadbiran

Pandangan hidup berteraskan Melayu dalam Hikayat Hang Tuah menonjolkan pengamalan adat Temenggung dalam sistem pentadbirannya. Dalam sistem pentadbiran ini bersifat aristokrasi yang meletakkan raja atau sultan mempunyai kuasa tertinggi dalam sistem pentadbiran negara dengan keistimewaannya yang tersendiri. Maka wujudlah istilah derhaka yang meletakkan peraturan bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh raja perlu diikuti oleh rakyat dan raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan. Contoh petikan:

“Maka kata laksamana seraya memekis, katanya. “Cih, mengapa pula begitu? Si Tuah tiada mahu derhaka. Daulat Tuanku, patik persembahan nyawa patik, patik tiada bertuankan yang lain.” 

(Hikayat Hang Tuah, 283)

Petikan di atas menunjukkan bahawa orang bawahan, iaitu Hang Tuah yang berperanan sebagai laksamana sanggup mempertaruhkan nyawanya atas sebab tidak mahu menderhaka kerana raja mahu dirinya dibunuh hanya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan apabila berada di alam kubur.

Pewarisan harta dan pangkat

Masyarakat Melayu yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah mengamalkan adat Temenggung yang mempunyai pandangan hidup dengan mementingkan pangkat iaitu pangkat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. 

Contoh petikan:

“ Adapun nama baginda itu Sang Perta Dewa. Adapun Sang Perta Dewa itu tahu akan dirinya akan beroleh anak; maka anaknya itu akan menjadi raja kepada Bukit Siguntang; maka daripada anak cucu baginda itu akan menjadi raja.” 

(Hikayat Hang Tuah, 3:1995)

Petikan di atas menerangkan bahawa pewarisan takhta daripada Sang Perta Dewa kepada anaknya untuk menjadi raja di Bukit Siguntang dan seterusnya diwarisi oleh anak cucu baginda untuk memegang takhta.

Pembentukan keperibadian (Latar belakang)

Pandangan hidup Melayu dalam Hikayat Hang Tuah memperlihatkan bahawa masyarakat yang hidup miskin atau sederhana dapat membentuk suatu keperibadian yang mulia kerana masyarakat yang susah akan lebih mengenal erti kehidupan dengan merapatkan diri dengan Tuhan dan alam sehingga mempunyai pengetahuan yang tinggi. Sebagaimana yang digambarkan dalam watak Hang Tuah, iaitu wira Melayu ini tidak dilakarkan wataknya sebagai orang yang dilahirkan dalam golongan bangsawan atau kerabat diraja, tetapi Hang Tuah merupakan seorang yang digambarkan kisah hidupnya dan keluarganya yang miskin di suatu kawasan dalam Melaka.

Menurut Harun Jaafar (91:2004), Hikayat Hang Tuah dimulakan dengan kisah hidup Hang Tuah dan keluarganya yang miskin di Sungai Duyung, Melaka serta bersahabat baik dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir. Gambaran Hang Tuah sebagai seorang yang lahir daripada keluarga miskin dan mempunyai keperibadian sempurna meletakkan suatu pandangan hidup dalam masyarakat Melayu bahawa seseorang yang hidup dala keadaan serba kekurangan dan sederhana akan lebih harmoni dalam kehidupannya dan pergaulannya dengan orang lain. Sebaliknya pula bagi golongan atasan yang hidup dalam keadaan mewah dan serba serbi lengkap menunjukkan kurangnya hubungan dengan orang lain atau wujudnya perbatasan antara dirinya dengan orang lain serta mempunyai unsur negatif melalui keperibadiannya seperti seorang yang sombong atau tamak. Contoh petikan yang menunjukkan latar belakang Hang Tuah seperti berikut:

“ The narration of the hikayat now turn to Hang Tuah, the son of Hang Mahmud, who lived on the banks of the Duyung River… As Hang Tuah grew older, he learnt the ways of his mother an father… When he had mastered these twelve languages, he returned home to live with his mother dan father. With his father he would venture forth daily to gather firewood, splitting it with an axe in front of the shop… It was in such a fashion that Hang Tuah learned the code of proper conduct and courtesy prevailing in Bentan.”

(The epic of Hang Tuah,20: 2010)

Pantang larang

Pantang larang seperti sudah sinonim dengan kehidupan orang Melayu kerana ia menjadi prinsip dan peraturan yang perlu diikuti oleh masyarakatnya untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup. Ahmad Sarji turut menyatakan bahawa seorang hulubalang itu terikat oleh satu kod pantang larang. Contohnya, apabila seorang hulubalang ke sungai, tidak boleh berkata-kata sehingga habis melintasi sungai tersebut, tidak boleh bunuh lawannya yang tiada bersenjata, tidak boleh tikam sehingga dua kali, tidak dapat mendengar kata-kata yang keji di majlis, pantang dicabar dan tidak tahu takut seperti peristiwa Hang Tuah menaiki kuda taji dan memanjat pokok kelapa gading sedangkan tiada seorang pun yang berani berbuat demikian. Gambaran-gambaran berikut menunjukkan pandangan hidup Melayu dalam kehidupan mereka sehingga mewujudkan pelbagai pantang larang termasuklah pantang larang yang perlu diikuti oleh seorang hulubalang.

No comments:

Post a Comment