NILAI ILMU
Menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Dalam bidang sains sosial, nilai boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Melalui nilai manusia dapat membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia. Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Nilai-nilai tersebut cukup sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh Nusantara.
Manakala Ilmu pula membawa maksud pengetahuan dalam sesuatu bidang atau perkara yang diperoleh melalui proses pembelajaran. Menurut Syed Naquib Al-Attas dalam Mohd. Nor Wan Daud (87: 2005), ilmu didefinisikan sebagai ketibaan makna dalam diri seseorang yang menyebabkan berlaku perubahan berdasarkan ilmu yang diperoleh. Kamus Besar Bahasa Indonesia (1988) pula menghuraikan definisi ilmu dengan dua pengertian iaitu ilmu diertikan sebagai suatu pengetahuan tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem melalui kaedah-kaedah tertentu. Ilmu juga didefinisikan sebagai pengetahuan atau kepandaian tentang soal duniawi, akhirat, zahir, batin dan sebagainya. Contoh-contoh ilmu yang wujud ialah ilmu akhirat, ilmu akhlak, ilmu batin, ilmu sihir, ilmu firasat dan sebagainya.
Nilai dalam Hikayat Hang Tuah
Karya Agung merupakan himpunan karya secara tradisi yang diiktiraf dan menjadi asas kepada sesuatu tamadun bangsa. Karya Agung juga dianggap suatu karya klasik yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, pemikiran, pandangan, falsafah, gaya hidup serta budaya dan sosial yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Salah sebuah karya agung yang masih menjadi khazanah budaya dan ilmu Melayu sehingga kini ialah Hikayat Hang Tuah.
Hikayat Hang Tuah sebagai hasil karya sastera Melayu lama yang sememangnya memiliki nilai estatiknya yang tersendiri (Abdul Halim Bandan 1:1994). Pengarang hikayat ini menggarap watak Hang Tuah secara simbolik dan bertepatan dengan perasaan dan ciri-ciri sosial yang wujud pada zamannya. Menurut Abdul Halim Bandan (1:1994), perwatakan Hang Tuah digambarkan begitu agung, malahan dikatakan mempunyai kuasa-kuasa luar biasa yang dapat menentang musuh seterusnya untuk membela bangsa. Hikayat Hang Tuah banyak menyentuh berkaitan nilai-nilai kemasyarakatan, nilai-nilai moral, nilai-nilai ilmu dan sebagainya. Nilai-nilai yang terbit kebanyakannya mencerminkan budaya, cara hidup dan pemikiran masyarakat zaman dahulu.
Jenis-Jenis Ilmu dalam Hikayat Hang Tuah
Pelbagai jenis ilmu dapat diambil dalam karya agung Melayu seperti ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu perdukunan, ilmu pengasih dan sebagainya.
Ilmu Bahasa
Ilmu Bahasa adalah ilmu tentang bahasa atau ilmu yang menjadikan bahasa sebagai objek kajiannya. Menurut Abdul Halim (96:1994), Hang Tuah telah mengetahui dan dapat bertutur dengan fasih sebanyak dua belas bahasa. Hal ini demikian kerana, beliau seorang yang sangat gemar menuntut ilmu semenjak kecil lagi.
“Maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasanya itu, maka Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya bersama-sama dengan ibu bapanya mencari makan sehari-hari.”
(Hikayat Hang Tuah : 23)
Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:412), mendefinisikan ilmu firasat sebagai pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang. Orang yang mempunyai ilmu firasat lebih dikenali sebagai ahli nujum. Menurut Seri Lanang Jaya et.al (2014: 159), ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.
Dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang berkaitan dengan penggunaan ilmu firasat. Antaranya ialah berdasarkan peristiwa penubuhan Kota Melaka. Pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku Syah Alam bahawa Anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelanduk putih. Mendengar perkhabaran yang telah dibawa oleh Hang Tuah, Tuanku Syah Alam merasa tertarik dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pembesar itu memberikan pandangan bahawa, menurut cerita yang di sampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Maka Tuanku Syah Alam mula berfirasat, jika dibuka sebuah negeri di situ, negeri tersebut akan maju dan kuat.
“... Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka anjing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya...’’ Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri: berdaulat negeri, tuanku.”
(Hikayat Hang Tuah: 64)
Ilmu Pengasih
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk membangkitkan rasa kasih. Ilmu pengasih juga dapat ditakrifkan sebagai ilmu yang digunakan oleh seseorang dalam memuja-muja individu yang menambat hati. Lazimnya, ilmu pengasih ini digunakan oleh seseorang kepada seseorang yang diminati kerana mungkin hasrat hatinya pernah ditolak atau dipermainkan. Menurut Seri Lanang Jaya et.al (2014:167), ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya.
Hakikatnya, ilmu pengasih ini telah diamalkan oleh masyarakat kita sejak dahulu lagi. Keadaan ini turut digambarkan dalam karya-karya warisan Melayu. Dalam Hikayat Hang Tuah turut diceritakan perihal Hang Tuah yang menggunakan ilmu pengasih untuk mendapatkan Tun Teja:
“Maka Tun Tuah pun bermohonlah lalu pulang ke rumahnya. Maka Tun Tuah pun mandi dan berlangir. Maka Tun Tuah pun duduklah membuka pustakanya. Setelah sudah dilihat dalam pustakanya, maka Tun Tuah pun tersenyum, seraya dikucupinya puatakanya itu. Setelah Tun Tuah berolah Jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang. Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, ‘Rindunya aku akan Mak Inang...”... “Janganlah inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?”
(Hikayat Hang Tuah: 216-218)
Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan (2010), dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya. Dukun juga lebih dikenali sebagai pawang atau bomoh pada masa kini. Manakala pendukunan pula membawa maksud hal-hal yang berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun. Masyarakat tradisional lebih mempercayai amalan animisme iaitu kepercayaan kepada benda-benda yang mempunyai semangat dan kuasa ghaib.
Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah telah membuat sejenis ubat yang berupa candu setelah Nala Sang Guna meminta beliau membuat ubat beranak untuk isterinya. Setelah sebulan, akhirnya isteri Nala Sang Guna telah melahirkan seorang bayi lelaki (Seri Lanang Jaya et.al, 2014).
Maka kata Nala Sang Guna, “Anakku tahukah berbuat ubat beranak, kerana ayahanda terlalu hasrat hendak beranak. Beberapa pula ayahanda minta kepada segala orang yang tahu, tiada juga diberi Allah Taala.” Maka kata Laksamana, “Insya Allah Taala, adapun yang kehendak ayahanda bonda akan anak itu beroleh. Ada suatu ubat hamba tahu; akan ayahanda dianugerahkan Allah Taala anak seperti kehendak bonda itu.”... “Maka Laksamana pun berbuat suatu ubat, rupanya seperti madat. Setelah sudah maka ubat itu pun disuruh oleh Laksamana hantarkan kepada Nala Sang Guna.”
(Hikayat Hang Tuah: 394-395)
No comments:
Post a Comment