Thursday, May 28, 2015

KESIMPULAN 


Shahnon Ahmad telah melakarkan kehidupan yang sebenar tentang kehidupan yang terdapat di Kampung Banggul Derdap. Bermulanya dengan judul novel itu sendiri iaitu Ranjau Sepanjang Jalan, mengambil perkataan ‘ranjau’ yang membawa maksud ‘benda tajam’ yang diperbuat daripada besi, buluh dan sebagainya yang dipasang atau dipacakkan ke dalam tanah dengan tujuan melukai orang. ‘Ranjau’ dalam novel ini sebenarnya juga mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kehidupan di kampung tersebut yang biasanya terdapat ramai pencuri lembu yang membuat onar dengan pemilik lembu dengan memasangkan ranjau tersebut dengan niat melukai pemilik lembu tersebut dan melepaskan diri mereka daripada ditangkap. Akibat terkena ranjau tersebut, individu akan merasa sangat perit sehinggakan boleh membawa kepada kematian. 

Berdasarkan situasi tersebut, Shahnon Ahmad mengambil perkataan ‘ranjau’ sebagai judul dengan tujuan memberi gambaran kepada pembaca tentang kesusahan dan penderitaan yang perlu dilalui dalam kehidupan. Kemudian, dalam menamakan watak-watak yang terdapat dalam RSJ ini juga, Shahnon Ahmad memilih nama yang bersesuaian dengan perwatakan yang dibawa oleh watak tersebut. Contohnya, nama Lahuma yang direka daripada perkataan ‘huma’ iaitu padi menunjukkan hubungan yang sangat rapat dengan kehidupan watak Lahuma dengan sawah padinya. Selain itu, nama Jeha pula mengambil singkatan daripada nama Zulaikha yang membawa maksud ‘isteri yang gila’, dan ia juga menunjukkan perwatakan Jeha yang tidak mampu menghadapi kesusahan dan penderitaan hidup sehingga menyebabkan dirinya gila. Begitu juga bagi nama watak anak-anak Lahuma dan Jeha, seperti Sanah dan lain-lain yang diberikan nama watak oleh Shahnon Ahmad untuk menonjolkan secara langsung perwatakan setiap watak tersebut. Secara keseluruhannya, novel RSJ berkisar tentang masyarakat yang menghadapi kemiskinan hidup. Namun kemiskinan tersebut tidak menghalang hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan sesama manusia.

No comments:

Post a Comment