Thursday, May 28, 2015

TUGASAN INDIVIDU

GURINDAM 12

1.0 Pengenalan

Sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu klasik menerangkan bahawa gurindam sudah terkenal sejak zaman Hindu lagi. Gurindam berasal daripada perkataan Tamil iaitu ‘Kirandam’. Gurindam bererti ‘asal’ atau ‘perumpamaan’. Menurut Za’ba (1920), gurindam adalah suatu jenis syair melarat yang tidak teratur, berangkap-rangkap dan tidak tetap sukatannya, timbangannya dan sajaknya. Menurut Za’ba lagi, bahasa gurindam padat dan bernas serta isinya lebih cenderung kepada suasana riang dan sukacita sebagai nyanyian jenaka, senda gurau, kelakar, sindiran, giat yang bermain-main dan mengelikan hati.

A. Bakar Hamid (1974) dalam Harun Jaafar dan Mohd Fauzi Khalid (2005), menyatakan bahawa gurindam adalah sejenis puisi lama yang mengandungi unsur-unsur pengaruh Hindu. Puisi ini terdiri daripada dua baris yang mempunyai rima akhir a-a dan keistimewaannya pula ialah isinya berupa nasihat atau petua. Jika kita menyebut kedua-dua baris sekali, satu ayat majmuk akan terbentuk dan jika diasingkan kepada baris pertama menunjukkan sebab kepada akibat yang dikemukakan dalam baris kedua.

Gurindam yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji banyak memaparkan tentang nasihat dan pesanan. Gurindam Dua Belas dapat mempunyai pelbagai aspek pengajaran yang sempurna. Di dalamnya ada nasihat untuk berbudi bahasa dan berperangai mulia. Aspek penulisannya juga merakamkan falsafah dan pemikiran serta kepengarangan dan estetika yang unik untuk dikaji. Oleh itu, kajian akan mengupas berkenaan falsafah dan pemikiran serta kepengarangan dan estetika dalam Gurindam Dua Belas.


2.0 Falsafah dan Pemikiran

2.1 Falsafah

Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Selain itu, falsafah juga dapat diterjemahkan sebagai kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Antara ciri-ciri falsafah ialah pemikiran tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Seseorang individu yang mempunyai falsafah akan mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan melakukan pemikiran radikal, sistematik dan sejagat. 

Falsafah yang cuba disampaikan dalam karya Raja Ali Haji ini lebih kepada falsafah etika. Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Raja Ali Haji mencipta gurindam 12 ini adalah untuk mas kahwin yang diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyengat. Dapatlah disimpulkan bahawa terdapat falsafah etika yang berunsurkan nasihat untuk berbudi bahasa dan berperangai mulia cuba ditonjolkan oleh Raja Ali Haji kepada Engku Puteri Hamidah. Jika dilihat pada fasal keenam memerihalkan tentang pergaulan yang menyarankan untuk mencari sahabat yang baik, demikian pula guru sejati yang dapat mengajarkan mana yang baik dan mana yang buruk.

Nasihat agar ibu bapa membentuk akhlak dan budi pekerti anak-anak sejak kecil dengan sebaik mungkin. Jika tidak ibu bapa tidak mendidik dan menasihati anak-anak kelak orang tua yang akan mengalami kesusahan. Selain itu, disarankan juga agar tidak mempercayai kepada orang yang culas dan tidak berprasangka buruk terhadap orang lain. Hal ini demikian kerana akan mendatangkan akibat yang tidak baik ini dapat dilihat dalam fasal ketujuh dan kelapan.

Fasal kesembilan pula dinyatakan nasihat dan peringatan tentang jangan melakukan pekerjaan yang kurang baik. Fasal ini memberi penekanan tentang moral pergaulan lelaki dan perempuan dan tentang didikan yang sempurna perihal pergaulan lelaki dan perempuan. Oleh itu, lelaki dan perempuan perlu bijak dalam pergaulan dan hendaklah sentiasa rajin beribadat agar keimanan dapat membentengi daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh agama.

Pemberitahuan yang disampaikan dalam gurindam juga lebih berfokus kepada pembinaan keperibadian individu. Jika kita lihat pada fasal kesepuluh dalam gurindam, ia merupakan nasihat untuk menghormati, bertimbang rasa dan berbuat jasa. Nasihat yang paling berguna yang harus diikuti ialah kita harus hormat kepada ibu dan bapa dan jangan derhaka kepada mereka kerana banyak jasa yang telah mereka taburkan kepada kita. Selain itu, kita juga berperanan dan bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak supaya boleh menjadi insan yang berguna. Begitu juga soal isteri dan kawan yang harus sentiasa diambil berat.

2.2 Pemikiran

Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014), pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.

Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji dalam karya Gurindam Dua Belas cuba menerapkan identiti iaitu menrusi gaya penulisan yang berunsurkan nasihat. Setelah dibaca dan dihayati setiap bait rangkap gurindam ini mempunyai makna-makna tersirat yang perlu difahami melalui mata hati dan bukan sekadar bacaan mata kasar. Penulisan gurindam ini begitu padat dengan makna-makna yang berunsurkan teguran dan nasihat. Apabila dibaca fasal lapan rangkap ketiga iaitu :

Lidah yang suka membenarkan dirinya

Daripada yang lain dapat kesalahannya

(Gurindam Dua Belas, Fasal Lapan, 1985)


Raja Ali Haji menyelitkan nasihat kepada diri individu yang sentiasa membenarkan diri-sendiri namun hakikatnya pada diri orang lain individu tersebut banyak melakukannya kesalahan tanpa disedari. Justeru, kita perlulah mengelakkan diri daripada bersikap sedemikian kerana sikap tersebut tidak akan disukai oleh orang sekeliling.

Jelas menunjukkan Raja Ali Haji merupakan seorang pengarang yang kreatif dalam penulisan. Beliau berjaya menyampaikan mesej yang berkesan kepada pembaca. Mesej-mesej yang disampaikan juga begitu dekat dengan persekitaran masyarakat pada masa kini walaupun karyanya ini sudah lama. Betullah seperti kata sarjana iaitu Sutan Takdir Alisjahbana (1928) dalam Harun Jaafar dan Mohd Fauzi Khalid (2005) gurindam terdiri daripada dua baris. Kedua-dua baris itu bersajak dan mengutarakan satu idea iaitu baris pertama dan kedua, masing-masing tidak lengkap tapi bersambung. Tuntasnya, setiap baris gurindam itu merupakan nasihat, pengajaran atau kebenaran yang cuba disampaikan oleh Raja Ali Haji.


3.0 Kepengarangan dan Estetika

3.1 Kepengarangan

Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang. Oleh itu, kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan iaitu apakah fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks dan bagaimana fakta-fakta ini hadir dalam teks tersebut dan apakah kesan kepada kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca. 

Berdasarkan gaya penulisan Raja Ali Haji, kepengarangan yang cuba ditonjolkan oleh beliau dalam karyanya lebih bersifat nasihat dan teguran ke arah kebaikan. Sekiranya dilihat latar belakang Raja Ali Haji, beliau merupakan seorang intelektual yang begitu disegani. Gurindam Dua Belas dalam penghasilan penstrukturannya, kita dapat melihat gubahan bahasa yang digunakan begitu tepat, padat dan bernas serta gambaran bahasa yang mendalam. Hal ini demikian kerana penyampaiannya adalah berterus-terang. Gambaran perasaan pula melalui penggunaan perkataan yang diguna pakai dalam gurindam. Contohnya pada fasal kelima,

Jika hendak mengenal orang yang berbangsa

Lihat kepada budi bahasa



Jika hendak mengenal orang berbahagia,

Sangat memeliharakan yang sia-sia



Jika hendak mengenal orang yang mulia

Lihatlah pada kelakuan ia



Jika hendak mengenal orang berakal

Di dalam dunia mengambil bekal 



Jika hendak mengenal orang baik perangai

Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai
(Gurindam Dua Belas, Fasal Lima, 1985)


Daripada petikan gurindam di atas, penggunaan perkataan yang menggambarkan penyampaian perasaan mengajak seseorang membuat kebaikan ialah ‘budi bahasa’ dan ‘berakal’. Kedua-dua perkataan tersebut menunjukkan hubungan dengan pencipta iaitu Allah s.w.t. selain itu, penggunaan elemen ketuhanan juga adalah dekat dengan aspek kehidupan masyarakat Melayu lama. 

Seterusnya, Raja Ali Haji juga menyelitkan kiasan untuk menimbulkan citra gurindam supaya penyampaian kelihatan indah dan juga disukai oleh pembaca. Kiasan-kiasan yang diguna pakai adalah kiasan yang bersifat halus. Kiasan bermaksud bahasa yang menyatakan sesuatu perkara dengan mengkiaskannya kepada perkara lain, sama ada menyebut bandingan atau tanpa menyebut perbandingan. Menurut Abdullah Yusof et. al (2009), menyatakan perihal kiasan secara langsung, iaitu kiasan ialah peribahasa yang mengkiaskan sesuatu maklumat dengan maklumat yang lain. Berikut merupakan petikan gurindam fasal ketujuh :

Apabila banyak berkata-kata

Di situlah jalan masuk dusta



Apabila banyak berlebihan-lebihan suka

Itulah tanda hampirkan duka



Apabila kita kurang siasat

Itulah tanda pekerjaan hendak sesat



Apabila anak tidak dilatih

Jika besar bapaya letih



Apabila banyak mencela orang

Itulah tanda dirinya kurang



Apabila orang banyak tidur

Sia-sia sahajalah umur 

(Gurindam Dua Belas, Fasal Tujuh, 1985)


Berdasarkan Gurindam Dua Belas fasal ketujuh, mendapati bahawa penggunaan kiasan pada baris pertama rangkap menggambarkan makna kedua baris rangkap. Kehalusannya penyampaiannya akan menarik pembaca untuk meneruskan bacaan. Selain itu, penggunaan bahasa yang mudah difahami akan memudahkan pembaca memahami maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang. Raja Ali Haji nyata seorang yang meneliti dahulu persekitaran dan keadaan masyarakat sebelum hadir dengan karya yang penuh dengan isi-isi nasihat dan teguran dan pengajaran yang mengenai sasarannya iaitu individu yang ingin perubahan kehidupan ke arah kebaikan. 

Seterusnya, Raja Ali Haji melalui penulisan gurindam ini telah dapat melukiskan dan memaparkan hal-hal secara langsung berhubungan dengan soal kehidupan manusia dengan agamanya, yang saling berhubungan bagi menentukan perjalanan hidup yang sempurna. Seperti yang kita ketahui kewujudan syaitan sebagai makhluk ghaib yang sentiasa ingin mengajak manusia ke arah kemungkaran dan perbuatan dosa tidak akan sekali-kali melepaskan peluang menggoda manusia. Dengan itu, menerusi fasal kesembilan Raja Ali Haji menasihati agar kita tidak terjerumus ke dalam godaan syaitan. Berikut merupakan kepengarangan Raja Ali Haji dalam aspek keagamaan :

Tahu perkerjaan tak baik tetapi kerjakan

Bukannya manusia iaitulah syaitan



Kejahatan seorang perempuan tua

Itulah iblis punya penggawa



Kepada segala hamba-hamba raja

Di situlah syaitan tempatnya manja



Kebanyakan orang yang muda-muda

Di situlah syaitan tempat berkuda

(Gurindam Dua Belas, Fasal Sembilan, 1985)


Menurut Mohd Rosli Saludin (2007), pada fasal kesembilan dinyatakan nasihat dan peringatan tentang jangan melakukan pekerjaan yang kurang baik. Iblis pula sentiasa cuba memperdayakan manusia tanpa mengira peringkat umur. Syaitan pula adalah musuh nombor satu manusia dan akan sentiasa cuba mempengaruhi manusia untuk melakukan perkara yang tidak elok.

Berdasarkan maksud yang dinyatakan oleh Mohd Rosli Saludin (2007) dapatlah disimpulkan bahawa syaitan akan mudah mempengaruhi manusia yang lalai dan kurang memiliki ilmu. Ilmu di sini ialah ilmu keagamaan yang sememangnya merupakan benteng kepada orang Islam dalam mengekang godaan syaitan. Setiap ilmu yang dipelajari perlu disusuli dengan amal yang berterusan dan barulah akan merasai kemanisan iman.

Dengan itu, kepengarangan Raja Ali Haji amat menitikberatkan pembangunan keperibadian manusia yang lengkap dari segi fizikal dan rohani. Oleh itu, gurindam yang dihasilkan mengandungi nasihat-nasihat yang amat bermakna dan berkesan dalam pembangunan keperibadian manusia. kaya dengan unsur didaktik dalam membimbing kita ke arah seperti beramal ibadat, menguasai ilmu agama, berbudi bahasa dan sebagainya.

Gurindam Dua Belas yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji nyata telah memenuhi tiga persoalan prinsip kehadiran. Hal ini demikian kerana karya yang dihasilkan adalah berdasarkan pengalaman yang beliau alami dipersekitarannya dan karyanya juga difahami dan dekat dengan pembaca. Pembaca mudah memahami intipati yang ingin disampaikan dalam gurindam. Melalui pembacaan yang mempunyai rentak puitis isi gurindam itu akan dapat disampaikan dan dipraktiskan dalam kehidupan masyarakat.

3.2 Estetika

Estetik berhubung kait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Sebuah karya akan diterjemahkan keindahan melalui pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membaca sesebuah karya. Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014), estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. 

Selain itu, keindahan juga tergambar melalui penggunaan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Hal ini demikian kerana cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya akan menonjolkan keindahan yang cuba dipaparkan oleh karya. Justeru, Raja Ali Haji adalah salah seorang penkarya yang pandai mendominasi penggunaan bahasa yang baik dan unik. Seterusnya, beliau berjaya menghasilkan karya Gurindam Dua Belas yang sangat puitis dan menyampaikan keindahan melalui nasihat yang disampaikan kepada pembaca memnerusi cara beliau sendiri.

Susunan struktur yang harmoni telah mendedahkan kita kepada beberapa bentuk dan gaya penggunaan bahasa yang indah. Seperti yang kita ketahui gurindam tergolong dalam ikatan bebas dan penghasilannya tidak terikat kepada bentuk-bentuk tertentu seperti pantun, syair dan sebagainya. Gurindam Dua Belas terbentuk daripada dua baris dan seterusnya membentuk sebuah kalimat yang bermakna. Setiap baris gurindam mengandungi sepeuluh hingga empat belas suku kata. Isi gurindam yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji memiliki nasihat yang sangat berguna kepada kita untuk menjadi insan yang berkeperibadian cemerlang di kuka bumi Allah ini.

Keunikkan gurindam adalah pada bentuk pembinaan yang terbahagi kepada dua baris. Menurut Mohd Rosli Saludin (2007), baris pertama dalam setiap rangkap dapat dianggap sebagai syarat (condition, protasis) dan baris kedua sebagai jawab (answer, apodosis). Jelaslah bahawa setiap rangkap mengandungi dua baris dan mempunyai rima hujung baris yang sama. Tetapi gurindam ini tidak seperti pantun dua baris. Baris pertama pertama gurindam ialah menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa dan baris kedua pula menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang dinyatakan oleh baris atau ayat pertama. Berikut merupakan contoh yang dipetik daripada fasal keempat :

Barangsiapa meninggalkan sembahyang

Seperti rumah tidak bertiang



Barangsiapa meninggalkan puasa

Tidaklah dapat dua temasya



Barangsiapa meninggalkan zakat

Tidaklah hartanya beroleh berkat





Barangsiapa meninggalkan haji

Tiadalah ia menyempurnakan janji

(Gurindam Dua Belas, Fasal Empat, 1985)

Berdasarkan petikan gurindam di atas, baris pertama menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa yang membawa kepada peristiwa sesuatu perkara terjadi dan pada baris kedua menerangkan keterangan iaitu akibat daripada perbuatan yang dinyatakan pada baris pertama. Tuntasnya, baris pertama dan baris kedua gurindam saling berkaitan. Perkara inilah yang dikatakan adanya daya tarikan dan kepuasan dalam aspek susunan struktur yang harmoni dalam sesebuah karya dan akhirnya menimbulkan keseronokan ke dalam diri pembaca untuk meneruskan pembacaan.

Gurindam Dua Belas menggunakan perkataan yang biasa, namun hasil daripada rima yang berpadanan, menjadikan sifatnya begitu indah sekali, seperti dalam gabungan ‘derhaka-murka’ pada fasal kesepuluh, perkataan ‘adil-kapil’ fasal kesepuluh. Penggunaan perkataan ini juga terdapat pada fasa-fasa lain dalam Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji.

Seterusnya, penggunaan gaya bahasa seperti asonansi dan aliterasi kurang terdapat dalam puisi Melayu lama. Walau bagaimanapun, unsur-unsur rima lebih jelas dan kerap ditemui. Penemuan yang rima yang ketara terletak di bahagian hujung baris-baris iaitu mempunyai rima aa dan bb. Unsur rima ini menimbulkan rentak yang unik dan irama yang menarik.

Keindahan dari segi pengulangan perkataan juga terdapat dalam Gurindam Dua Belas. Contohnya, perkataan ‘Apabila’, dalam fasal ketujuh telah menjadikan gurindam di atas bertambah menarik. 

Apabila banyak berkata-kata

Di situlah jalan masuk dusta



Apabila banyak berlebih-lebihan suka

Itulah tanda hampir duka



Apabila kita kurang siasat

Itulah tanda pekerjaan akan sesat



Apabila anak tiada dilatih

Jika besar bapanya letih



Apabila banyak mencela orang

Itulah tanda dirinya kurang

(Gurindam Dua Belas, Fasal Tujuh, 1985)


Perkataan ‘Apabila’, bertindak sebagai penegas dalam menyampaikan mesej dan nasihat yang berguna kepada khalayak. Begitu juga dalam fasal keenam terdapat pengulangan perkata ‘Carilah’ yang menimbulkan keindahan dalam penulisan Gurindam Dua Belas oleh Raja Ali Haji.

Carilah olehmu akan sahabat

Yang boleh dijadikan ubat



Carilah olehmu akan guru

Yang boleh tahukan akan seteru



Carilah olehmu akan kawan

Pilih segala orang setiawan



Carilah olehmu akan abdi

Yang ada baik sedikit budi

(Gurindam Dua Belas, Fasal Enam, 1985)


Secara keseluruhnya, rasa keindahan yang disampaikan dalam sesebuah karya adalah bertujuan untuk menimbulkan perasaan pembaca, seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu dan sebagainya. Pengarang yang bijaksana akan menampilkan kelainan yang akan memainkan emosi dan imaginasi pembaca. Karya yang berkesan akan membawa perubahan yang positif ke dalam diri pembaca manakala karya yang tidak berkesan tidak akan mendatangkan apa-apa kesan ke dalam diri pembaca. Pentingnya nilai estetika diterapkan dalam karya agar dapat membawa pembaca ke arah penikmatan yang mempesonakan dan seterusnya terpahat dalam pemikiran pembaca.


Kebijaksanaan Raja Ali Haji dalam menggunakan elemen keindahan dalam Gurindam Dua Belas nyata berkesan. Hal ini demikian kerana keindahan yang disampaikan berbentuk nasihat dan pengajaran serta teguran positif yang akan membawa pembaca ke arah perubahan yang positif.



4.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Gurindam Dua Belas adalah cerminan kepada perilaku masyarakat dan seterusnya menyebabkan Raja Ali Haji tertarik dan berminat untuk menghasilkan karya sebagai nasihat dan teguran. Jika dilihat dan dihayati setiap bait rangkap yang disampaikan mempunyai maksud yang sangat mendalam. Ketepatan dan kejituan penggunaan bahasa yang begitu dekat dengan masyarakat dan mudah difahami menyebabkan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada pembaca.

Jelaslah, karya Raja Ali Haji banyak memaparkan perihal nasihat yang dapat dijadikan panduan dan pengajaran. Sindiran dan teguran diberikan secara halus dan perlu difahami menerusi pembacaan yang mendalam. Raja Ali Haji juga menyelitkan gaya kepengarangan dan gaya penulisan yang mempunyai unsur-unsur keindahan yang menunjukkan kearifan beliau sebagai pengkarya yang memiliki ketinggian ilmu.

No comments:

Post a Comment