Thursday, May 28, 2015

SENI BAHASA

Seni bahasa dikenali juga sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa melibatkan diksi (pemilihan kata) dan pembentukan ayat. Bahasa yang ditulis menjadi bergaya atau mempunyai gaya tertentu dan pengarang perlu menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa dalam proses penulisannya. Menurut Sulaiman Masri et.all (2006: 446) gaya bahasa ialah susunan perkataan yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan idea dan perasaan serta fikiran dan maksud dalam penulisannya. Hal ini kerana, melalui susunan perkataan yang ditulis oleh pengarang pembaca akan dapat mengetahui perkara yang cuba untuk disampaikan oleh pengarang. Kadangkala pengarang menyampaikan perasaan mereka sama ada perasaan sedih atau gembira melalui penulisan. Kehebatan yang dimiliki oleh pengarang di mana mereka seolah-olah telah membawa pembaca turut merasai apa yang dirasai oleh mereka. 

Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan telah membawa pembaca turut merasai kesusahan yang dihadapi oleh watak utama bersama-sama keluarganya. Penggunaan katanya yang baik dan mudah difahami oleh pembaca. Dalam menghasilkan karya Ranjau Sepanjang Jalan pengarang telah cuba menerapkan beberapa ciri bahasa. Antara ciri bahasa yang diterapkan oleh pengarang dalam novel ini ialah menggunakan bahasa hiasan, pelukisan gambaran yang jelas, penggunaan bahasa baku dan sebagainya. Dalam novel ini juga terdapat pelbagai gaya bahasa yang dapat dikenal pasti yang digunakan oleh pengarang.

Ciri-ciri bahasa

Penggunaan bahasa hiasan 

Penggunaan bahasa hiasan ini adalah bertujuan untuk membangkitkan jalan cerita atau plot dan huraian karyanya dan sebagai penyeri terhadap sesuatu hasil karya. Penggunaan bahasa hiasan ini adalah sebagai hiasan karya, penyeri jalan terhadap isi cerita dan penambah daya tarikan pada cerita supaya ceritanya tidak kering, hambar atau menjemukan. Dengan adanya bahasa hiasan ini pembaca akan susah untuk melepaskan buku yang dibacanya dan akan membaca sehingga ke penghujung cerita. Hal ini kerana, dalam diri pembaca akan timbul sifat ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contoh dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, pembaca akan tertanya-tanya apa yang akan terjadi kepada Lahuma setelah kakinya terkena duru nibung. 

Pelukisan gambaran yang jelas

Pelukisan ini membawa maksud gambaran pengarang tentang sesuatu peristiwa, aksi dan emosi dalam wacana yang jelas. Kata-kata yang digunakan oleh pengarang adalah kata-kata yang segar dan bertenaga untuk melukiskan gambaran yang jelas dan hidup. Contohnya dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon Ahmad telah melukiskan keadaan pada waktu petang di sebuah kampung:

“Senja menyelubungi kampung Banggul Derdap yang kaya dengan kemiskinan itu. Lampu-lampu minyak tanah mulai dipasang. Rumah-rumah yang tercatuk di pinggir-pinggir sawah itu telah samar-samar kelihatan dan sedikit demi sedikit terluput daripada pandangan. Besok para penghuni akan keluar menyediakan bekas tanah semai” (m/s: 11) 

Unsur-unsur bahasa

Penggunaan bahasa amat dipentingkan dalam mengungkapkan sesuatu hasil karya pengarang atau penulis kreatif. Penggunaan bahasanya beridentiti jika dibandingkan dengan laras bahasa yang lain. Bahasa dianggap sebagai satu elemen yang kuat untuk menunjukkan perbezaan di antara satu karya dengan satu karya yang lain. Oleh itu, terdapat beberapa unsur dalam laras sastera atau kreatif, seperti:-

Unsur perbandingan

Unsur perbandingan ini terdiri daripada beberapa jenis. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan terdapat beberapa unsur perbandingan yang telah diterapkan oleh pengarang dalam karyanya. Antaranya adalah seperti berikut:

i) Unsur personifikasi

Unsur personifikasi ialah unsur yang menggunakan kiasan untuk memberikan sifat manusia daripada segi perasaan, perlakuan dan sebagainya kepada benda-benda mati, idea, binatang dan lain-lain yang mujarad. Unsur ini menjadikan benda atau binatang seolah-olah manusia. Sifat-sifat manusia seperti perasaan dan keinginan diberikan kepada benda, binatang dan seumpamanya menjadikannya seperti manusia. Contohnya ialah: 

“Alangkah mudah kalau traktor itu dapat mengoyakkan tanah bendangnya” (m/s:109)

“Besok lusa aku hantar. Datanglah traktor itu menjerti-jerit di bendang kau” (m/s: 120)

“Biar traktor itu mengoyak-ngoyak bendang kau sampai dalam” (m/s:121)

“Tanah-tanah sawah kita habis terkoyak” (m/s: 129)

ii) Unsur hiperbola

Hiperbola menggambarkan karya sastera yang mempunyai unsure yang agak keterlaluan atau berlebih-lebihan seolah-olah tidak masuk akal. Namun demikian, perbandingan atau cerita yang digambarkan itu masih menarik dan indah. Hal ini adalah bertujuan untuk memperhebat serta meningkatkan kesan dan pengaruh dalam kalangan pembaca. Oleh itu, gaya bahasa ini melibatkan kata-kata dan kalimat seperti:

“Kita bubuh Malinja di baruh itu. Dia akan tumbuh menjangkau udara.” (m/s:53) 

“Mengapa kau suka sangat sebut nama-nama anak kesayangan Tuhan itu?” (m/s: 55)

“Cerah hamper-hampir sesuku petak itu apabila matahari menikam ubun-ubun.” (m/s: 61)

iii) Unsur simile

Simile merupakan bahasa kiasan yang digunakan dalam karya sastera. Unsur simile juga merupakan perbandingan sesuatu benda, peristiwa atau situasi dengan benda lain yang hamper sama. Perbandingan simili merupakan perbandingan ynag jelas kerana disertai kata-kata seperti umpama, laksana, seperti, macam dan bagai. Di samping itu, similie juga dikenali sebagai penggunaan kata-kata membangkitkan imaginasi pembaca untuk menanggapi maksud pengarang. Gambaran keadaan atau suasana kehidupan manusia atau kesedihan sesuatu akibat daripada sesuatu kejadian atau peristiwa. Antara contoh penggunaan simile dalam karya Ranjau Sepanjang Jalan ialah:

“Biar anak –anaknya hitam macam keeling” (m/s:108) 

iv) Unsur metafora

Menurut Keraf (2004:127) dalam Andri Wicaksono, M.Pd, anafora adalah repetisi yang berwujud perulangan kata pertama pada tiap baris atau kalimat berikutnya. Oleh itu, metafora merupakan bahasa kiasan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan seperti simile. Kiasan jenis metafora merupakan kiasan yang menyebut terus kepada benda atau binatang yang hendak diumpakannya. Hal ini juga, perbandingan metafora adalah lebih ringkas dan padat. Antara contoh metafora yang terdapad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah:

”Sebulan tujuh hari Jeha dan anak-pinaknya berkubang macam kerbau dalam baruh” (m/s: 137) 

v) Unsur analogi

Analogi di sini dimaksudkan persamaan antara dua perkara atau peristiwa atau keadaan yang dibandingkan dengan maksud menjelaskan sesuatu itu mempunyai persamaan. Unsur analogi digunakan untuk menjelaskan atau membuktikan tentang sesuatu perkara. Contoh yang terdapat dalam karya:

”Bunyinya macam kepala angin tertampan puncak bukit. Gaungnya macam bunyi badak berendam dalam rimba” (m/s: 57)

Unsur penegasan

Penggunaan diksi atau ayat-ayat penegasan kerap kali kita dapati dalam bahan penulisan kreatif. Bahagian yang ditegaskan akan diulang-ulang beberapa kali. Unsur-unsur penegasan berlaku pada bunyi, kata, ayat atau seumpamanya. Antara unsur-unsur penegasan tersebut adalah seperti berikut :

i. Unsur repetasi

Unsur repetisi atau lebih dikenali dengan unsur pengulangan bunyi. Bertujuan untuk menegaskan atau menimbulkan nilai estetik melalui bunyi yang berirama dan indah. Pengulangan bunyi dilakukan sama ada dengan cara mengulang bunyi yang sama dalam perkataan-perkataan yang sama ataupun frasa atau ayat yang sama bagi maksud penegasan. Contoh yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah:

“Lahuma hidup dari lumpur. Jeha hidup dari lumpur.Sanah hidup dari lumpur. Milah hidup dari lumpur.Jenab hidup dari lumpur. Semek hidup dari lumpur.Liah hidup dari lumpur. Lebar hidup dari lumpur. Dan Kiah juga hidup dari lumpur” (m/s: 49)










No comments:

Post a Comment