NILAI ILMU
Konsep nilai
Menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.
Konsep ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu merupakan hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125).
Jenis-jenis ilmu dalam karya Ranjau Sepanjang Jalan
Terdapat beberapa jenis ilmu yang dapat dilihat dalam karya ranjau sepanjang jalan, iaitu:
Ilmu firasat
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlwan-pahlawan kerana dengan itu dia boleh membantu mereka menewaskan musuh (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125-128). Dalam Karya Ranjau Sepanjang Jalan, ilmu firasat dapat dilihat dalam pelbagai bentuk iaitu melalui mimpi dan melalui kepercayaan dan lain-lain. Petikannya:
“Mak sebut nama bapa beberapa kali.” Jeha tersedar. Ingatan pada mimpi karut tadi terbayang. Kaki suaminya sebesar titi sungguh menakutkan. Wajah dan perut Lahuma amat mengerikan. Lahuma menolaknya dan anak-anak. Lahuma makan ketam. Perutnya yang buncit pecah. Jeha teringat kembali. Kemudian dia beristighfar dan meminta menguatkan iman daripada ALLAH Yang Maha Esa…….. “Bapamu marah pada kita, rintih Jeha. Dari kelopak kedua-dua belah matanya, mengalir air yang jernih. (Ranjau Sepanjang Jalan: 211-212)
Lahuma dan beberapa orang yang masih berkerumun di halaman rumah Ali memerhatikan mereka berdua berjalan. Masing-masing membayangkan rasa simpati. Kalaulah ular itu sempat mematuk kaki Jeha, mereka semua sudah yakin tentang maut yang akan menimpa kampung itu. (Ranjau Sepanjang Jalan: 52)
“Hujan berarak ke barat!” seru Jeha lagi. Dia memandang wajah suaminya. Bukan kerana takut pada hujan. Hujan tak hujan mereka akan ke sawah juga. Sebenarnya, Jeha teringat petua dahulu . Awan hitam berarak ke barat membawa alamat tidak baik. Bah akan menggila. (Ranjau Sepanjang Jalan: 90)
Ketiga-tiga peristiwa di atas menunjukkan ilmu firasat yang digunakan. Peristiwa pertama ialah mimpi. Dalam Bab 15, unsur mimpi dikemukakan walaupun sedikit sahaja. Shahnon Ahmad menceritakan bahawa Jeha (Isteri Lahuma) telah bermimpi tentang suaminya pulang dengan tidak bercakap apa-apa dan tidak menghiraukan isteri dan anak-anaknya yang merayu serta berperangai pelik. Bagi Jeha, maksud mimpi tersebut menyatakan bahawa lahuma marah dengannya dan anak-anaknya. Peristiwa kedua ialah firasat penduduk kampung. Penduduk kampung Banggul Derdap mempercayai bahawa jika ular itu sempat mematuk kaki Jeha, mereka sudah yakin tentang maut yang akan menimpa kampung tersebut. Peristiwa yang ketiga ialah melalui tanda atau petua orang dahulu. Jeha teringat peristiwa orang dahulu awam hitam berarak ke barat membawa alamat tidak baik.
Ilmu perdukunan
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun. Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Dalam Ranjau Sepanjau Jalan, ilmu pendukunan banyak digunakan. Contoh petikan berkaitan dengan ini:
Seorang pawang yang dipanggil cuba membuat air jampi dengan beras kunyit dan kemenyan tetapi duri ini masih juga tersumbat di dalam. Kadang-kadang Lahuma naik geram sendirian lalu memicit-micit kakinya sekuat tenaga sampai menjerit-jerit kesakitan tetapi kesakitan yang keluar bukan juga duri. Cuma darah mengalir membuak-buak. (Ranjau Sepanjang Jalan: 97)
Puas bomoh datang memberi ubat sakit busung tetapi air bisa yang hanyir itu mengalir juga melalui retak-retak pada perut. Jeha tidak sanggup ke sawah lagi. Perut itu perlu dicuci dan dibasuh hingga air hanyirnya meresap kain basahan.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 144)
Pernah tuk bomoh Kampung Banggul Derdap menjamu jin dan penunggu untuk menyekat kedatangan binatang itu. Lima enam ekor ayam langsai begitu saja. Ketam-ketam itu datang juga malah bertambah banyak lagi.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 197)
Melalui ketiga-tiga peristiwa di atas, menunjukkan penduduk kampung Derdap ini mempercayai kewujudan bomoh atau pawang. Perisiwa pertama, ketika Lahuma sakit kaki, Jeha memanggil pawang supaya mengubati dan mengeluarkan duri daripada kaki suaminya. Peristiwa kedua pula, ketika penyakit Lahuma semakin teruk iaitu sakit busung. Sekali lagi, Jeha memanggil bomoh untuk mengubati suaminya. Peristiwa ketiga, apabila kampung derdap diserang oleh ketam. Seterusnya, tuk bomoh kampung derdap sendiri melakukan upacara menyekat binatang tersebut datang.
Ilmu jampi
Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutama pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural. Dalam Karya Ranjau Sepanjang Jalan, ilmu jampi kurang digunakan. Ada beberapa sahaja dijumpai dalam novel ini. Lahuma sendiri pernah menggunakan ilmu jampi. Petikannya seperti berikut:
No comments:
Post a Comment