Thursday, May 28, 2015

TEKNIK KEPENGARANGAN

Menurut Rashid Hj. Md Idris et al (2013), ciri kepengarangan merujuk kepada aspek keperibadian yang dicapai oleh seseorang pengarang. Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ianya akan mempengaruhi daya kreativiti seorang pengarang. Pengalaman yang diperoleh oleh pengarang kebiasaannya dikutip melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuklah yang bersifat konseptual dan kontekstualan. Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa kepengarangan sebagai cara atau bagaimana seseorang itu menulis bagi mendapatkan sebuah jalan cerita yang lengkap. Teknik kepengarangan juga merujuk kepada kebijaksanaan seseorang pengarang dalam menyampaikan ceritera sesebuah karya. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, terdapat aspek kepengarangan yang pelbagai telah digunakan oleh pengarang iaitu Shahnon Ahmad dalam menghuraikan jalan cerita dengan lebih menarik. 

Novel Ranjau Sepanjang Jalan yang dihasilkan pada tahun 1966 merupakan suatu novel yang digarap dalam bentuk keindahan yang tinggi. Lakaran sebuah kehidupan masyarakat jelas tergambar menerusi novel ini. Shahnon Ahmad telah menghasilkan novel ini berasaskan pengaruh pengalaman setempatnya yang dilalui oleh masyarakat khususnya penduduk-penduduk kampung yang mengalami kemelut kemiskinan. Beliau mengisahkan kehidupan petani di tempat kediamannya di Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah. Novel ini terhasil dari suasana tanah air yang sedang menghadapi zaman kemelut dan pancaroba iaitu setelah sembilan tahun merdeka dan sebelum berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Shahnon Ahmad menghasilkan novel ini dengan memberi fokus utama kepada masalah-masalah kemiskinan, politik, ekonomi, pendidikan dan sains dan teknologi yang membelenggu rakyat di luar bandar.

Menurut Mohd Yusof Hasan (2009), novel yang telah lahir selama 40 tahun ini masih mantap dengan beberapa ciri intrinsik dan ekstrinsik seperti tema, bahasa, latar, perwatakan dan tekniknya, serta dengan persoalan-persoalan politik, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, kesenian dan lain-lain lagi dalam pembinaan masyarakat dan peradaban Melayu. 

Kepengarangan Shanon Ahmad

Kekuatan novel Ranjau Sepanjang Jalan terletak pada dua perkara utama iaitu jalinan plot cerita yang kemas dan pemakaian bahasanya yang hidup dan segar.

Plot Cerita

Melalui novel ini penulis berjaya mencipta satu plot yang penuh kreatif dan permainan emosi yang berjaya menyentak akal fikiran kelompok masyarakat sekarang yang mana petani pada waktu dahulu sanggup berjuang untuk mencari sesuap nasi untuk diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Permulaan kisah di dalam novel ini, Shahnon Ahmad telah memperkenalkan watak-watak utama iaitu Lahuma dan Jeha serta tujuh orang anak gadis mereka Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Mereka sekeluarga berjuang menguruskan sawah sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Shahnon Ahmad menggunakan latar Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah yang merupakan kampung kelahirannya. Perkembangan novel ini diteruskan dengan pengenalan musuh-musuh Lahuma yang sering merosakkan pekerjaannya sebagai petani. Musuh-musuh yang dimaksudkan ialah ketam putih dan burung Tiak yang menyerang tanaman padi Lahuma. 

Konflik yang dicetuskan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah apabila Lahuma yang akhirnya kecundang dalam perjuangannya sebagai ketua keluarga kerana kakinya terpijak onak nibung yang meragut nyawanya sendiri. Klimaks cerita ini diperlihatkan dengan watak Jeha yang terpaksa memikul beban sebagai ketua keluarga setelah kematian Lahuma. Malangnya Jeha tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang dihadapi sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung Tiak menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi kurang siuman akibat dugaan mendatang tanpa henti semasa mengusahakan sawahnya. Shahnon Ahmad telah meleraikan plot penceritaan novel ini dengan sikap dan amanah yang diterima oleh Sanah. Segala bebanan dan tanggungjawab keluarga akhirnya diambil alih oleh anak sulung Lahuma dan Jeha ini. Sanah bersama adik-adiknya adalah penerus perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah mereka.

Plot cerita yang dibawakan oleh Shahnon Ahmad ini penuh kesungguhan dalam menampilkan watak-watak yang tiada kenal erti putus asa sehingga meragut nyawa dan akal fikiran yang waras. Shahnon Ahmad juga turut mengetengahkan watak-watak wanita seperti Jeha dan Sanah yang terus berani berjuang mencari rezeki sekalipun tahu bahawa kudrat wanita kadangkala ada lemahnya namun semua itu bukan alasan dalam meneruskan kehidupan. Novel ini memiliki pemeliharaan pada kesatuan jalan cerita yang diperoleh daripada pemilihan dan penyusunan peristiwa-peristiwa yang sesuai dan berkesan. 

Gaya Bahasa

Shahnon Ahmad juga menitikberatkan penggunaan bahasa di dalam novelnya serta mempunyai identitinya yang tersendiri. Beliau sangat mahir dalam menggunakan bahasa dengan gayanya tersendiri sehingga apa yang hendak disampaikan tersembunyi di sebalik ayat dan ungkapan. Corak penulisan dan gaya bahasa yang mantap dan penuh maksud tersurat dan tersirat terutama dalam memaparkan permasalahan hidup masyarakat desa begitu memberi impak yang mendalam kepada pembaca. Keistimewaan pada gaya bahasa yang digunakan oleh Shahnon Ahmad pula adalah kerana beberapa hal : 

i) Terlihat pada pembentukan ayat-ayatnya yang pendek tetapi padat dan bertenaga. Contoh:

“Tapi mak nak kerjakan juga sawah kita. Mak tajak juga. Mak cabut semai. Mak kuak sampah-sarap. Mak timbun menerung masam atas batas. Mak takung air. Mak Kutip ketam.” (m/s 212)

ii) Bahasa kiasan banyak ditimbulkan dalam bentuk yang asli. Contoh:

“Cicit…apa cicit? Cucu pun belum ada. Yang sulung tu pun masih tak habis bermain-main pasir dan tempurung. Awak pula sebut cicit??(m/s 6) 

Matahari masih juga garang dengan sinarannya. (m/s 212)


iii) Perulangan juga agak kerap digunakan untuk tujuan-tujuan penegasan dan keberkesanan. Contoh:

“Lahuma mengancingkan giginya atas bawah. Duri dalam daging mendesak-desak menghiris daging reput. Berdenyut-denyut bisanya hinggakan Lahuma mengalah juga. Dan perasaan kekalahan itu diiringi dengan keluhan memanjang. Dia menunduk dan mengurut manja pada cabuknya. Dia merebahkan badan di atas lantai. Dia beralih ke kanan.Dia membongkok-bongkokkan kaki sakitnya. Dia meronta-ronta kesakitan. Dia bingkas duduk. Dia tidur. Bingkas duduk lagi, tidur lagi. Dan kesakitan itu mengamuk juga tanpa sebarang simpati.” (m/s 70) 


iv) Dialog yang ditimbulkan kebanyakan dapat menggambarkan berbagai-bagai perasaan watak. Contoh :

Tiba-tiba perut itu pecah berderaian. Urat perut berkecai. Lemak-lemaknya mengalir ke luar ke tengah sawah bersama-sama dengan air lendir yang hanyir itu. Jantung dan hati dan paru-paru Lahuma tersembur keluar.

“Bang Lahuma! Bang Lahuma! Bang Lahuma!” jerit Jeha sekuat tenaga. (m/s 211)













No comments:

Post a Comment