NILAI BUDAYA
Shahnon Ahmad merupakan seorang pengarang yang memperlihatkan sikap yang jujur, berterus terang, tegas dan berani dalam menyampaikan sesuatu buah fikiran yang difikirkannya melampau dalam nada dan gaya penulisan dan nada yang tegas. Namun begitu, ada kalanya menggunakan perkataan yang halus dan kasar. Shahnon Ahmad banyak bercerita mengenai kisah dalam dirinya, menulis berdasarkan pengalaman peribadi dan melihat sesuatu isu dari sudut sejagat. Selain itu, beliau juga merakam budaya dan merupakan pemerhati yang teliti dan kritis.
Terserlah gambaran yang jelas tentang budaya dan pandangan hidup penduduk kampung asalnya yang hidup dalam kemiskinan berdasarkan karya yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad. Pemikiran dan pemahaman kolot masyarakat orang kampung secara tidak langsung telah menyebabkan pembangunan lambat berkembang di kawasan pedalaman khususnya di kawasan kampung yang terpencil. Sikap petani yang mudah berputus asa semasa menghadapi musibah atau kesusahan juga sangat ditekankan oleh Shahnon Ahmad dalam karyanya. Hal ini demikian kerana, beliau ingin menyedarkan pertani untuk membangunkan dan mengubah pendirian orang kampung yang kolot dan lurus itu.
Antara nilai budaya yang diterapkan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah nilai kasih sayang dalam keperitan hidup sebagai keluarga. Sebagai contoh, walaupun hidup dalam keluarga petani, kasih sayang yang ditunjukkan oleh keluarga Lahuma tidak berkurang dan berbelah bahagi. Lahuma ditunjukkan dengan watak yang begitu menyayangi isterinya Jeha dan anaknya yang seramai tujuh orang itu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Lahuma tidak membenarkan Jeha dan anak-anak menolongnya di bendang dan ini dapat dilihat dalam petikan berikut:
“Esok, kamu semua tak usah pergi. Biar saya seorang dulu pergi tengok-tengok dan menebas. Pagar kena buat. Mungkin tahun ini babi hutan banyak benar kata Mat Diah.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 17)
Ketika Jeha diserang ular, Lahumalah yang bertindak membunuh ular tedung tersebut dengan mencencang dan menumbuk kepala ular tersebut sehingga mati. Hal ini juga dapat dilihat ketika Lahuma tidak boleh bekerja kerana kakinya telah terpijak duri nibung. Jeha dan dua orang anak mereka iaitu Sanah dan Milah yang membanting tulang mengerjakan sawah bagi menggantikan tempat Lahuma yang sedang sakit. Sifat kasih sayang inilah yang membolehkan mereka berjaya dan sanggup menempuh liku-liku hidup terutamanya bagi menghapuskan musuh-musuh padi.
Selain itu, sikap hidup saling membantu dan bekerjasama turut dipaparkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Hal ini jelas dilihat semasa Lahuma terpijak duri nibung. Orang kampung telah bersama-sama mengangkatnya ke pengusung dan membawanya ke permatang dan kemudiannya mengusung Lahuma pulang ke rumah. Shahnon Ahmad turut menyelitkan sifat ziarah-menziarahi dan hal ini ditunjukkan semasa orang kampung melawat Lahuma pada malamnya selepas kejadian tersusuk duri nibung dan ia dapat dilihat dalam petikan:
Malam itu, rumah Jeha didatangi tetamu. Mereka datang sekadar melihat keadaan Lahuma. Seorang dua mengesyorkan agar kaki yang tertusuk duri nibung itu direndam di dalam air daun karapule atau campur ramuan sintuk bersama akar lengkuas.
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 97)
Keprihatinan dan kewibawaan sikap tuk penghulu di dalam melihat permasalahan keluarga Lahuma dengan cara memberikan bantuan dalam bentuk peralatan pertanian. Hal ini dapat dilihat dalam petikan:
“Biar aku hantar traktor ke sawah kau selama dua tiga hari. Semuanya tentu habis.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 152)
Di samping itu, kerjasama dan kesepakatan penduduk kampung Banggul Derdap dapat dilihat ketika kematian Lahuma. Penduduk kampung telah bersama-sama bergotong-royong menguruskan majlis pengebumian Lahuma Walaupun jenazah Lahuma berbau hanyir dan busuk dengan nanah dan darah yang keluar.
No comments:
Post a Comment