PANDANGAN HIDUP
Satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Dengan itu dapatlah dirumuskan pandangan hidup menurut Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.
Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014), pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Oleh hal yang demikian, pandangan hidup orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Pandangan hidup tentang manusia dapat dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat.
Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad menggambarkan kehidupan orang Melayu dahulu yang terlibat dalam bidang pertanian. Hal ini demikian kerana Shahnon Ahmad menggunakan sesuatu yang terdapat di sekeliling sebagai sumber ilham bagi menghasilkan karya. Jelas bahawa dalam novel ini terdapat hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Berikut merupakan beberapa bentuk pandangan hidup yang ditonjolkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan,
Kemiskinan dan penderitaan
Novel Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon Ahmad dilihat mengetengahkan isu-isu kemiskinan dan penderitaan penduduk kampungnya. Sebagai contoh pembawaan watak Jeha dan Lahuma serta keluarganya. Plot novel Ranjau Sepanjang Jalan sangat menarik dimana keadaan padi yang sedang menanti masak tiba-tiba diserang oleh ketam berjuta-juta. Ketam tersebut lantas memusnahkan padi sebendang dan Lahuma pula menderita akibat tertusuk duri pada kakinya. Duri nibung telah menyebabkan dia tidak dapat lagi turun ke sawah. Akibat tusukkan duri nibong juga kakinya membengkak dan menjadi busuk. Berikut merupakan petikan yang menggambarkan kesakitan yang dialami oleh Lahuma.
“Kadang-kadang Lahuma naik geram sendirian lalu memicit-micit kakinya sekuat tenaga sambil menjerit-jerit kesakitan tetapi yang keluar bukan juga duri. Cuma darah mengalir membuak-buak.” (Shahnon Ahmad, 2006:97)
Jeha telah berkorban jiwa dan raganya untuk merawat penyakit Lahuma yang sangat tenat tersebut. Penderitaan yang dialami oleh keluarga Lahuma yang bergantung hidup dengan penanaman padi semakin dirasai setelah kematian Lahuma dan seterusnya kerja-kerja bersawah diambil alih oleh Jeha yang bertindak sebagai ketua keluarga. Namun, masyarakat yang sering mengejek Jeha sebagai janda menyebabkan Jeha seakan-akan berputus asa dengan kehidupannya yang terpaksa membesarkan tujuh orang anaknya. Tekanan jiwa yang dialami Jeha akhirnya membawa Jeha ke pusat sakit jiwa. Kehidupan bersawah diteruskan oleh anaknya Sanah dan Milah. Kemiskinan dan penderitaan petani yang bergantung hidup dengan bersawah ini berterusan sehingga ke akhir penceritaan.
Mati hidup bergantung pada sawah
Pandangan hidup kedua yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah mati hidup bergantung kepada sawah yang menjadi kekuatan kepada keluarga Lahuma untuk terus mengerjakan sawah. Dalam karya ini Shahnon Ahmad menafikan keluarga Lahuma dengan kehadiran ‘watak lain’ yang dapat disertakan dalam kehidupan mereka. Tanggungjawab ditonjolkan dalam novel ini menerusi peranan Lahuma yang bertindak sebagai ketua keluarga. Perihal tanggungjawab yang ditonjolkan oleh Lahuma dapatlah dirasai menerusi petikan dibawah,
“Padi mesti ditanam. Mesti dijaga. Sudah berbelas-belas dan berpuluh-puluh tahun Lahuma menjaga padi itu. Lahuma tidak pernah kalah lagi. Jeha teringat pesanan Lahuma dulu, “Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tak ada nasi, anak-anak kita akan mati. Makan kita bergantung pada sawah. Pakaian kita bergantung pada sawah. Sakit atau sihat bergantung pada sawah. Mati hidup bergantung pada sawah” (Shahnon Ahmad, 2006:213)
Oleh sebab, kehidupan bersawah inilah Lahuma tetap berkeras ingin mengerjakan tanah padi walaupun kakinya telah tertusuk duri nibong. Sawah ini bukan sekadar menggambarkan kehidupan Lahuma semata-mata, tetapi Shahnon Ahmad turut menjelaskan bahawa penduduk kampung, tanpa padi mereka akan mati. Sebenarnya pemikiran masyarakat masa itu masih miskin, namun jika kita melihat kini masyarakat yang rajin dan cekal begini boleh menjadi kaya kerana mereka melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh untuk hidup.
Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan
Novel Ranjau Sepanjang Jalan dimulai dengan satu prinsip iaitu “Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan, dipegang oleh Allah Azzawajalla”. Prinsip atau pegangan ini diulang sebanyak empat kali sebelum cerita sebenarnya dimulakan. Penggunaan perkataan demi perkataan dalam bentuk doa, penyataan kesyukuran atau rujukan yang sama. Menurut Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar Jaffar (2007), si pengucap saksi bahawa Allah adalah tuhan Yang Maha Esa dan di tangan-Nya sahajalah terletak segala-galanya. Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan menerapkan satu prinsip atau pegangan ini tidak pernah luput daripada ingatan, sama ada watak naratif mahupun ingatan pembaca.
“Oh Tuhanku yang Maha Besar yang Maha Agung. Benarkan aku mula bekerja esok dan biarlah selama itu aku dilindungi olehMu. Jauhkan aku dari segala bencana alam, dari segala penyakit, dari lipan-lipan dan ular-ular dan kala jengking yang bisa-bisa…Jauhkan segala malapetaka yang menghalang kami.” (Shahnon Ahmad, 2006:15)
Jelas menunjukkan bahawa pegangan terhadap agama menghadirkan fungsi sebagai pegangan yang menjadi perujuk dalam kehidupan. Mohd Yusof Hasan (2009), Dia (Lahuma) tidak bimbang dengan kehidupan tetapi tetap tawaduk kepada kuasa Allah.
“Mati hidup…Ini pegangan Lahuma sekarang. Malah, telah menjadi pegangan yang kukuh sejak zaman datuknya Haji Debasa…Jeha juga serupa pegangannya. Dia Cuma ikut suaminya saja. Ikutan itu bukan sekadar ikutan buta tuli semata-mata, tetapi Jeha puna ada pegangan juga. (Shahnon Ahmad, 2006:1)
Perjuangan hidup yang mesti diteruskan
Pandangan hidup yang seterusnya ditonjolkan dalam konteks perjuangan hidup yang mesti diteruskan. Nilai ini direalisasikan berlatar belakang gambaran kegetiran yang ekstrem. Dalam perjuangan mencari rezeki, Lahuma sahaja merelakan nasib mereka berbuat sesuatu. Yang harus jelas di sini perjuangan ini mewajibkan Lahuma dan keluarga berikhtiar bermati-matian, di samping berserah kepada tuhan. Hal ini terbukti apabila Lahuma bekerja bersungguh-sungguh dan sanggup pula berkorban untuk mencari rezeki. Lahuma juga merelakan anak-anaknya berbuat demikian, walaupun hatinya sungguh pedih dan terharu kerana terpaksa menggunakan tenaga muda anak-anak perempuannya. Tindakan ini jelas menunjukkan sikap seorang yang gigih, berani dan berjiwa kental yang sanggup melakukan apa sahaja, walaupun bergadai nyawa, demi mencari rezeki yang halal.
“Esok aku akan turun juga, getus hatinya lagi. Biar kakinya sakit. Biar bengkaknya menanah hingga membuak-buak. Lebih sakit daripada itu dia boleh tahan. Biar bengkaknya melarat hingga tertampan jantung. Allah itu adil. Dia tahu siapa perlu hidup, siapa perlu mati. Aku akan turun ke sawah juga esok, nekadnya. Antara sawah dengan maut, Lahuma mulai serba salah.” (Shahnon Ahmad, 2006:113)
Berdasarkan petikan menggambarkan betapa kuatnya perjuangan Lahuma yang ingin bekerja bagi mencari rezeki yang halal kepada isteri dan anak-anaknya. Kesukaran mendapatkan rawatan menyebabkan Lahuma hanya mampu berdoa kepada Allah agar dirinya diberi kesihatan dan dapat meneruskan mencari rezeki yang halal hasil daripada usahanya sendiri.
No comments:
Post a Comment