Thursday, May 28, 2015

TUGASAN INDIVIDU

GURINDAM 12

1.0 Pengenalan

Sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu klasik menerangkan bahawa gurindam sudah terkenal sejak zaman Hindu lagi. Gurindam berasal daripada perkataan Tamil iaitu ‘Kirandam’. Gurindam bererti ‘asal’ atau ‘perumpamaan’. Menurut Za’ba (1920), gurindam adalah suatu jenis syair melarat yang tidak teratur, berangkap-rangkap dan tidak tetap sukatannya, timbangannya dan sajaknya. Menurut Za’ba lagi, bahasa gurindam padat dan bernas serta isinya lebih cenderung kepada suasana riang dan sukacita sebagai nyanyian jenaka, senda gurau, kelakar, sindiran, giat yang bermain-main dan mengelikan hati.

A. Bakar Hamid (1974) dalam Harun Jaafar dan Mohd Fauzi Khalid (2005), menyatakan bahawa gurindam adalah sejenis puisi lama yang mengandungi unsur-unsur pengaruh Hindu. Puisi ini terdiri daripada dua baris yang mempunyai rima akhir a-a dan keistimewaannya pula ialah isinya berupa nasihat atau petua. Jika kita menyebut kedua-dua baris sekali, satu ayat majmuk akan terbentuk dan jika diasingkan kepada baris pertama menunjukkan sebab kepada akibat yang dikemukakan dalam baris kedua.

Gurindam yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji banyak memaparkan tentang nasihat dan pesanan. Gurindam Dua Belas dapat mempunyai pelbagai aspek pengajaran yang sempurna. Di dalamnya ada nasihat untuk berbudi bahasa dan berperangai mulia. Aspek penulisannya juga merakamkan falsafah dan pemikiran serta kepengarangan dan estetika yang unik untuk dikaji. Oleh itu, kajian akan mengupas berkenaan falsafah dan pemikiran serta kepengarangan dan estetika dalam Gurindam Dua Belas.


2.0 Falsafah dan Pemikiran

2.1 Falsafah

Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Selain itu, falsafah juga dapat diterjemahkan sebagai kesenian berfikir yang waras, bernas dan mendalam. Antara ciri-ciri falsafah ialah pemikiran tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Seseorang individu yang mempunyai falsafah akan mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan melakukan pemikiran radikal, sistematik dan sejagat. 

Falsafah yang cuba disampaikan dalam karya Raja Ali Haji ini lebih kepada falsafah etika. Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Raja Ali Haji mencipta gurindam 12 ini adalah untuk mas kahwin yang diberikan kepada Engku Puteri Hamidah yang tinggal di Pulau Penyengat. Dapatlah disimpulkan bahawa terdapat falsafah etika yang berunsurkan nasihat untuk berbudi bahasa dan berperangai mulia cuba ditonjolkan oleh Raja Ali Haji kepada Engku Puteri Hamidah. Jika dilihat pada fasal keenam memerihalkan tentang pergaulan yang menyarankan untuk mencari sahabat yang baik, demikian pula guru sejati yang dapat mengajarkan mana yang baik dan mana yang buruk.

Nasihat agar ibu bapa membentuk akhlak dan budi pekerti anak-anak sejak kecil dengan sebaik mungkin. Jika tidak ibu bapa tidak mendidik dan menasihati anak-anak kelak orang tua yang akan mengalami kesusahan. Selain itu, disarankan juga agar tidak mempercayai kepada orang yang culas dan tidak berprasangka buruk terhadap orang lain. Hal ini demikian kerana akan mendatangkan akibat yang tidak baik ini dapat dilihat dalam fasal ketujuh dan kelapan.

Fasal kesembilan pula dinyatakan nasihat dan peringatan tentang jangan melakukan pekerjaan yang kurang baik. Fasal ini memberi penekanan tentang moral pergaulan lelaki dan perempuan dan tentang didikan yang sempurna perihal pergaulan lelaki dan perempuan. Oleh itu, lelaki dan perempuan perlu bijak dalam pergaulan dan hendaklah sentiasa rajin beribadat agar keimanan dapat membentengi daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh agama.

Pemberitahuan yang disampaikan dalam gurindam juga lebih berfokus kepada pembinaan keperibadian individu. Jika kita lihat pada fasal kesepuluh dalam gurindam, ia merupakan nasihat untuk menghormati, bertimbang rasa dan berbuat jasa. Nasihat yang paling berguna yang harus diikuti ialah kita harus hormat kepada ibu dan bapa dan jangan derhaka kepada mereka kerana banyak jasa yang telah mereka taburkan kepada kita. Selain itu, kita juga berperanan dan bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak supaya boleh menjadi insan yang berguna. Begitu juga soal isteri dan kawan yang harus sentiasa diambil berat.

2.2 Pemikiran

Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014), pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya.

Oleh hal yang demikian, Raja Ali Haji dalam karya Gurindam Dua Belas cuba menerapkan identiti iaitu menrusi gaya penulisan yang berunsurkan nasihat. Setelah dibaca dan dihayati setiap bait rangkap gurindam ini mempunyai makna-makna tersirat yang perlu difahami melalui mata hati dan bukan sekadar bacaan mata kasar. Penulisan gurindam ini begitu padat dengan makna-makna yang berunsurkan teguran dan nasihat. Apabila dibaca fasal lapan rangkap ketiga iaitu :

Lidah yang suka membenarkan dirinya

Daripada yang lain dapat kesalahannya

(Gurindam Dua Belas, Fasal Lapan, 1985)


Raja Ali Haji menyelitkan nasihat kepada diri individu yang sentiasa membenarkan diri-sendiri namun hakikatnya pada diri orang lain individu tersebut banyak melakukannya kesalahan tanpa disedari. Justeru, kita perlulah mengelakkan diri daripada bersikap sedemikian kerana sikap tersebut tidak akan disukai oleh orang sekeliling.

Jelas menunjukkan Raja Ali Haji merupakan seorang pengarang yang kreatif dalam penulisan. Beliau berjaya menyampaikan mesej yang berkesan kepada pembaca. Mesej-mesej yang disampaikan juga begitu dekat dengan persekitaran masyarakat pada masa kini walaupun karyanya ini sudah lama. Betullah seperti kata sarjana iaitu Sutan Takdir Alisjahbana (1928) dalam Harun Jaafar dan Mohd Fauzi Khalid (2005) gurindam terdiri daripada dua baris. Kedua-dua baris itu bersajak dan mengutarakan satu idea iaitu baris pertama dan kedua, masing-masing tidak lengkap tapi bersambung. Tuntasnya, setiap baris gurindam itu merupakan nasihat, pengajaran atau kebenaran yang cuba disampaikan oleh Raja Ali Haji.


3.0 Kepengarangan dan Estetika

3.1 Kepengarangan

Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Kepengarangan dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang. Oleh itu, kepengarangan dianalisis daripada aspek keperibadian yang dicapai pengarang. Prinsip kehadiran mengandungi tiga persoalan iaitu apakah fakta-fakta yang hadir dan dari mana kehadirannya dalam teks dan bagaimana fakta-fakta ini hadir dalam teks tersebut dan apakah kesan kepada kehadiran fakta tersebut kepada teks dan khalayak pembaca. 

Berdasarkan gaya penulisan Raja Ali Haji, kepengarangan yang cuba ditonjolkan oleh beliau dalam karyanya lebih bersifat nasihat dan teguran ke arah kebaikan. Sekiranya dilihat latar belakang Raja Ali Haji, beliau merupakan seorang intelektual yang begitu disegani. Gurindam Dua Belas dalam penghasilan penstrukturannya, kita dapat melihat gubahan bahasa yang digunakan begitu tepat, padat dan bernas serta gambaran bahasa yang mendalam. Hal ini demikian kerana penyampaiannya adalah berterus-terang. Gambaran perasaan pula melalui penggunaan perkataan yang diguna pakai dalam gurindam. Contohnya pada fasal kelima,

Jika hendak mengenal orang yang berbangsa

Lihat kepada budi bahasa



Jika hendak mengenal orang berbahagia,

Sangat memeliharakan yang sia-sia



Jika hendak mengenal orang yang mulia

Lihatlah pada kelakuan ia



Jika hendak mengenal orang berakal

Di dalam dunia mengambil bekal 



Jika hendak mengenal orang baik perangai

Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai
(Gurindam Dua Belas, Fasal Lima, 1985)


Daripada petikan gurindam di atas, penggunaan perkataan yang menggambarkan penyampaian perasaan mengajak seseorang membuat kebaikan ialah ‘budi bahasa’ dan ‘berakal’. Kedua-dua perkataan tersebut menunjukkan hubungan dengan pencipta iaitu Allah s.w.t. selain itu, penggunaan elemen ketuhanan juga adalah dekat dengan aspek kehidupan masyarakat Melayu lama. 

Seterusnya, Raja Ali Haji juga menyelitkan kiasan untuk menimbulkan citra gurindam supaya penyampaian kelihatan indah dan juga disukai oleh pembaca. Kiasan-kiasan yang diguna pakai adalah kiasan yang bersifat halus. Kiasan bermaksud bahasa yang menyatakan sesuatu perkara dengan mengkiaskannya kepada perkara lain, sama ada menyebut bandingan atau tanpa menyebut perbandingan. Menurut Abdullah Yusof et. al (2009), menyatakan perihal kiasan secara langsung, iaitu kiasan ialah peribahasa yang mengkiaskan sesuatu maklumat dengan maklumat yang lain. Berikut merupakan petikan gurindam fasal ketujuh :

Apabila banyak berkata-kata

Di situlah jalan masuk dusta



Apabila banyak berlebihan-lebihan suka

Itulah tanda hampirkan duka



Apabila kita kurang siasat

Itulah tanda pekerjaan hendak sesat



Apabila anak tidak dilatih

Jika besar bapaya letih



Apabila banyak mencela orang

Itulah tanda dirinya kurang



Apabila orang banyak tidur

Sia-sia sahajalah umur 

(Gurindam Dua Belas, Fasal Tujuh, 1985)


Berdasarkan Gurindam Dua Belas fasal ketujuh, mendapati bahawa penggunaan kiasan pada baris pertama rangkap menggambarkan makna kedua baris rangkap. Kehalusannya penyampaiannya akan menarik pembaca untuk meneruskan bacaan. Selain itu, penggunaan bahasa yang mudah difahami akan memudahkan pembaca memahami maksud yang ingin disampaikan oleh pengarang. Raja Ali Haji nyata seorang yang meneliti dahulu persekitaran dan keadaan masyarakat sebelum hadir dengan karya yang penuh dengan isi-isi nasihat dan teguran dan pengajaran yang mengenai sasarannya iaitu individu yang ingin perubahan kehidupan ke arah kebaikan. 

Seterusnya, Raja Ali Haji melalui penulisan gurindam ini telah dapat melukiskan dan memaparkan hal-hal secara langsung berhubungan dengan soal kehidupan manusia dengan agamanya, yang saling berhubungan bagi menentukan perjalanan hidup yang sempurna. Seperti yang kita ketahui kewujudan syaitan sebagai makhluk ghaib yang sentiasa ingin mengajak manusia ke arah kemungkaran dan perbuatan dosa tidak akan sekali-kali melepaskan peluang menggoda manusia. Dengan itu, menerusi fasal kesembilan Raja Ali Haji menasihati agar kita tidak terjerumus ke dalam godaan syaitan. Berikut merupakan kepengarangan Raja Ali Haji dalam aspek keagamaan :

Tahu perkerjaan tak baik tetapi kerjakan

Bukannya manusia iaitulah syaitan



Kejahatan seorang perempuan tua

Itulah iblis punya penggawa



Kepada segala hamba-hamba raja

Di situlah syaitan tempatnya manja



Kebanyakan orang yang muda-muda

Di situlah syaitan tempat berkuda

(Gurindam Dua Belas, Fasal Sembilan, 1985)


Menurut Mohd Rosli Saludin (2007), pada fasal kesembilan dinyatakan nasihat dan peringatan tentang jangan melakukan pekerjaan yang kurang baik. Iblis pula sentiasa cuba memperdayakan manusia tanpa mengira peringkat umur. Syaitan pula adalah musuh nombor satu manusia dan akan sentiasa cuba mempengaruhi manusia untuk melakukan perkara yang tidak elok.

Berdasarkan maksud yang dinyatakan oleh Mohd Rosli Saludin (2007) dapatlah disimpulkan bahawa syaitan akan mudah mempengaruhi manusia yang lalai dan kurang memiliki ilmu. Ilmu di sini ialah ilmu keagamaan yang sememangnya merupakan benteng kepada orang Islam dalam mengekang godaan syaitan. Setiap ilmu yang dipelajari perlu disusuli dengan amal yang berterusan dan barulah akan merasai kemanisan iman.

Dengan itu, kepengarangan Raja Ali Haji amat menitikberatkan pembangunan keperibadian manusia yang lengkap dari segi fizikal dan rohani. Oleh itu, gurindam yang dihasilkan mengandungi nasihat-nasihat yang amat bermakna dan berkesan dalam pembangunan keperibadian manusia. kaya dengan unsur didaktik dalam membimbing kita ke arah seperti beramal ibadat, menguasai ilmu agama, berbudi bahasa dan sebagainya.

Gurindam Dua Belas yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji nyata telah memenuhi tiga persoalan prinsip kehadiran. Hal ini demikian kerana karya yang dihasilkan adalah berdasarkan pengalaman yang beliau alami dipersekitarannya dan karyanya juga difahami dan dekat dengan pembaca. Pembaca mudah memahami intipati yang ingin disampaikan dalam gurindam. Melalui pembacaan yang mempunyai rentak puitis isi gurindam itu akan dapat disampaikan dan dipraktiskan dalam kehidupan masyarakat.

3.2 Estetika

Estetik berhubung kait dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera. Sebuah karya akan diterjemahkan keindahan melalui pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membaca sesebuah karya. Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014), estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. 

Selain itu, keindahan juga tergambar melalui penggunaan bahasa yang digunakan oleh pengarang. Hal ini demikian kerana cara pengarang mencerna, mengadun dan mengolah karyanya akan menonjolkan keindahan yang cuba dipaparkan oleh karya. Justeru, Raja Ali Haji adalah salah seorang penkarya yang pandai mendominasi penggunaan bahasa yang baik dan unik. Seterusnya, beliau berjaya menghasilkan karya Gurindam Dua Belas yang sangat puitis dan menyampaikan keindahan melalui nasihat yang disampaikan kepada pembaca memnerusi cara beliau sendiri.

Susunan struktur yang harmoni telah mendedahkan kita kepada beberapa bentuk dan gaya penggunaan bahasa yang indah. Seperti yang kita ketahui gurindam tergolong dalam ikatan bebas dan penghasilannya tidak terikat kepada bentuk-bentuk tertentu seperti pantun, syair dan sebagainya. Gurindam Dua Belas terbentuk daripada dua baris dan seterusnya membentuk sebuah kalimat yang bermakna. Setiap baris gurindam mengandungi sepeuluh hingga empat belas suku kata. Isi gurindam yang dihasilkan oleh Raja Ali Haji memiliki nasihat yang sangat berguna kepada kita untuk menjadi insan yang berkeperibadian cemerlang di kuka bumi Allah ini.

Keunikkan gurindam adalah pada bentuk pembinaan yang terbahagi kepada dua baris. Menurut Mohd Rosli Saludin (2007), baris pertama dalam setiap rangkap dapat dianggap sebagai syarat (condition, protasis) dan baris kedua sebagai jawab (answer, apodosis). Jelaslah bahawa setiap rangkap mengandungi dua baris dan mempunyai rima hujung baris yang sama. Tetapi gurindam ini tidak seperti pantun dua baris. Baris pertama pertama gurindam ialah menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa dan baris kedua pula menyatakan keterangan atau menjelaskan apa yang dinyatakan oleh baris atau ayat pertama. Berikut merupakan contoh yang dipetik daripada fasal keempat :

Barangsiapa meninggalkan sembahyang

Seperti rumah tidak bertiang



Barangsiapa meninggalkan puasa

Tidaklah dapat dua temasya



Barangsiapa meninggalkan zakat

Tidaklah hartanya beroleh berkat





Barangsiapa meninggalkan haji

Tiadalah ia menyempurnakan janji

(Gurindam Dua Belas, Fasal Empat, 1985)

Berdasarkan petikan gurindam di atas, baris pertama menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa yang membawa kepada peristiwa sesuatu perkara terjadi dan pada baris kedua menerangkan keterangan iaitu akibat daripada perbuatan yang dinyatakan pada baris pertama. Tuntasnya, baris pertama dan baris kedua gurindam saling berkaitan. Perkara inilah yang dikatakan adanya daya tarikan dan kepuasan dalam aspek susunan struktur yang harmoni dalam sesebuah karya dan akhirnya menimbulkan keseronokan ke dalam diri pembaca untuk meneruskan pembacaan.

Gurindam Dua Belas menggunakan perkataan yang biasa, namun hasil daripada rima yang berpadanan, menjadikan sifatnya begitu indah sekali, seperti dalam gabungan ‘derhaka-murka’ pada fasal kesepuluh, perkataan ‘adil-kapil’ fasal kesepuluh. Penggunaan perkataan ini juga terdapat pada fasa-fasa lain dalam Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji.

Seterusnya, penggunaan gaya bahasa seperti asonansi dan aliterasi kurang terdapat dalam puisi Melayu lama. Walau bagaimanapun, unsur-unsur rima lebih jelas dan kerap ditemui. Penemuan yang rima yang ketara terletak di bahagian hujung baris-baris iaitu mempunyai rima aa dan bb. Unsur rima ini menimbulkan rentak yang unik dan irama yang menarik.

Keindahan dari segi pengulangan perkataan juga terdapat dalam Gurindam Dua Belas. Contohnya, perkataan ‘Apabila’, dalam fasal ketujuh telah menjadikan gurindam di atas bertambah menarik. 

Apabila banyak berkata-kata

Di situlah jalan masuk dusta



Apabila banyak berlebih-lebihan suka

Itulah tanda hampir duka



Apabila kita kurang siasat

Itulah tanda pekerjaan akan sesat



Apabila anak tiada dilatih

Jika besar bapanya letih



Apabila banyak mencela orang

Itulah tanda dirinya kurang

(Gurindam Dua Belas, Fasal Tujuh, 1985)


Perkataan ‘Apabila’, bertindak sebagai penegas dalam menyampaikan mesej dan nasihat yang berguna kepada khalayak. Begitu juga dalam fasal keenam terdapat pengulangan perkata ‘Carilah’ yang menimbulkan keindahan dalam penulisan Gurindam Dua Belas oleh Raja Ali Haji.

Carilah olehmu akan sahabat

Yang boleh dijadikan ubat



Carilah olehmu akan guru

Yang boleh tahukan akan seteru



Carilah olehmu akan kawan

Pilih segala orang setiawan



Carilah olehmu akan abdi

Yang ada baik sedikit budi

(Gurindam Dua Belas, Fasal Enam, 1985)


Secara keseluruhnya, rasa keindahan yang disampaikan dalam sesebuah karya adalah bertujuan untuk menimbulkan perasaan pembaca, seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu dan sebagainya. Pengarang yang bijaksana akan menampilkan kelainan yang akan memainkan emosi dan imaginasi pembaca. Karya yang berkesan akan membawa perubahan yang positif ke dalam diri pembaca manakala karya yang tidak berkesan tidak akan mendatangkan apa-apa kesan ke dalam diri pembaca. Pentingnya nilai estetika diterapkan dalam karya agar dapat membawa pembaca ke arah penikmatan yang mempesonakan dan seterusnya terpahat dalam pemikiran pembaca.


Kebijaksanaan Raja Ali Haji dalam menggunakan elemen keindahan dalam Gurindam Dua Belas nyata berkesan. Hal ini demikian kerana keindahan yang disampaikan berbentuk nasihat dan pengajaran serta teguran positif yang akan membawa pembaca ke arah perubahan yang positif.



4.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Gurindam Dua Belas adalah cerminan kepada perilaku masyarakat dan seterusnya menyebabkan Raja Ali Haji tertarik dan berminat untuk menghasilkan karya sebagai nasihat dan teguran. Jika dilihat dan dihayati setiap bait rangkap yang disampaikan mempunyai maksud yang sangat mendalam. Ketepatan dan kejituan penggunaan bahasa yang begitu dekat dengan masyarakat dan mudah difahami menyebabkan mesej yang ingin disampaikan sampai kepada pembaca.

Jelaslah, karya Raja Ali Haji banyak memaparkan perihal nasihat yang dapat dijadikan panduan dan pengajaran. Sindiran dan teguran diberikan secara halus dan perlu difahami menerusi pembacaan yang mendalam. Raja Ali Haji juga menyelitkan gaya kepengarangan dan gaya penulisan yang mempunyai unsur-unsur keindahan yang menunjukkan kearifan beliau sebagai pengkarya yang memiliki ketinggian ilmu.
KESIMPULAN 


Shahnon Ahmad telah melakarkan kehidupan yang sebenar tentang kehidupan yang terdapat di Kampung Banggul Derdap. Bermulanya dengan judul novel itu sendiri iaitu Ranjau Sepanjang Jalan, mengambil perkataan ‘ranjau’ yang membawa maksud ‘benda tajam’ yang diperbuat daripada besi, buluh dan sebagainya yang dipasang atau dipacakkan ke dalam tanah dengan tujuan melukai orang. ‘Ranjau’ dalam novel ini sebenarnya juga mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kehidupan di kampung tersebut yang biasanya terdapat ramai pencuri lembu yang membuat onar dengan pemilik lembu dengan memasangkan ranjau tersebut dengan niat melukai pemilik lembu tersebut dan melepaskan diri mereka daripada ditangkap. Akibat terkena ranjau tersebut, individu akan merasa sangat perit sehinggakan boleh membawa kepada kematian. 

Berdasarkan situasi tersebut, Shahnon Ahmad mengambil perkataan ‘ranjau’ sebagai judul dengan tujuan memberi gambaran kepada pembaca tentang kesusahan dan penderitaan yang perlu dilalui dalam kehidupan. Kemudian, dalam menamakan watak-watak yang terdapat dalam RSJ ini juga, Shahnon Ahmad memilih nama yang bersesuaian dengan perwatakan yang dibawa oleh watak tersebut. Contohnya, nama Lahuma yang direka daripada perkataan ‘huma’ iaitu padi menunjukkan hubungan yang sangat rapat dengan kehidupan watak Lahuma dengan sawah padinya. Selain itu, nama Jeha pula mengambil singkatan daripada nama Zulaikha yang membawa maksud ‘isteri yang gila’, dan ia juga menunjukkan perwatakan Jeha yang tidak mampu menghadapi kesusahan dan penderitaan hidup sehingga menyebabkan dirinya gila. Begitu juga bagi nama watak anak-anak Lahuma dan Jeha, seperti Sanah dan lain-lain yang diberikan nama watak oleh Shahnon Ahmad untuk menonjolkan secara langsung perwatakan setiap watak tersebut. Secara keseluruhannya, novel RSJ berkisar tentang masyarakat yang menghadapi kemiskinan hidup. Namun kemiskinan tersebut tidak menghalang hubungan manusia dengan Tuhan, hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan sesama manusia.
SENI BAHASA

Seni bahasa dikenali juga sebagai gaya bahasa. Gaya bahasa melibatkan diksi (pemilihan kata) dan pembentukan ayat. Bahasa yang ditulis menjadi bergaya atau mempunyai gaya tertentu dan pengarang perlu menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa dalam proses penulisannya. Menurut Sulaiman Masri et.all (2006: 446) gaya bahasa ialah susunan perkataan yang digunakan oleh pengarang untuk menyampaikan idea dan perasaan serta fikiran dan maksud dalam penulisannya. Hal ini kerana, melalui susunan perkataan yang ditulis oleh pengarang pembaca akan dapat mengetahui perkara yang cuba untuk disampaikan oleh pengarang. Kadangkala pengarang menyampaikan perasaan mereka sama ada perasaan sedih atau gembira melalui penulisan. Kehebatan yang dimiliki oleh pengarang di mana mereka seolah-olah telah membawa pembaca turut merasai apa yang dirasai oleh mereka. 

Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan telah membawa pembaca turut merasai kesusahan yang dihadapi oleh watak utama bersama-sama keluarganya. Penggunaan katanya yang baik dan mudah difahami oleh pembaca. Dalam menghasilkan karya Ranjau Sepanjang Jalan pengarang telah cuba menerapkan beberapa ciri bahasa. Antara ciri bahasa yang diterapkan oleh pengarang dalam novel ini ialah menggunakan bahasa hiasan, pelukisan gambaran yang jelas, penggunaan bahasa baku dan sebagainya. Dalam novel ini juga terdapat pelbagai gaya bahasa yang dapat dikenal pasti yang digunakan oleh pengarang.

Ciri-ciri bahasa

Penggunaan bahasa hiasan 

Penggunaan bahasa hiasan ini adalah bertujuan untuk membangkitkan jalan cerita atau plot dan huraian karyanya dan sebagai penyeri terhadap sesuatu hasil karya. Penggunaan bahasa hiasan ini adalah sebagai hiasan karya, penyeri jalan terhadap isi cerita dan penambah daya tarikan pada cerita supaya ceritanya tidak kering, hambar atau menjemukan. Dengan adanya bahasa hiasan ini pembaca akan susah untuk melepaskan buku yang dibacanya dan akan membaca sehingga ke penghujung cerita. Hal ini kerana, dalam diri pembaca akan timbul sifat ingin tahu perkara yang akan berlaku seterusnya. Sebagai contoh dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, pembaca akan tertanya-tanya apa yang akan terjadi kepada Lahuma setelah kakinya terkena duru nibung. 

Pelukisan gambaran yang jelas

Pelukisan ini membawa maksud gambaran pengarang tentang sesuatu peristiwa, aksi dan emosi dalam wacana yang jelas. Kata-kata yang digunakan oleh pengarang adalah kata-kata yang segar dan bertenaga untuk melukiskan gambaran yang jelas dan hidup. Contohnya dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon Ahmad telah melukiskan keadaan pada waktu petang di sebuah kampung:

“Senja menyelubungi kampung Banggul Derdap yang kaya dengan kemiskinan itu. Lampu-lampu minyak tanah mulai dipasang. Rumah-rumah yang tercatuk di pinggir-pinggir sawah itu telah samar-samar kelihatan dan sedikit demi sedikit terluput daripada pandangan. Besok para penghuni akan keluar menyediakan bekas tanah semai” (m/s: 11) 

Unsur-unsur bahasa

Penggunaan bahasa amat dipentingkan dalam mengungkapkan sesuatu hasil karya pengarang atau penulis kreatif. Penggunaan bahasanya beridentiti jika dibandingkan dengan laras bahasa yang lain. Bahasa dianggap sebagai satu elemen yang kuat untuk menunjukkan perbezaan di antara satu karya dengan satu karya yang lain. Oleh itu, terdapat beberapa unsur dalam laras sastera atau kreatif, seperti:-

Unsur perbandingan

Unsur perbandingan ini terdiri daripada beberapa jenis. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan terdapat beberapa unsur perbandingan yang telah diterapkan oleh pengarang dalam karyanya. Antaranya adalah seperti berikut:

i) Unsur personifikasi

Unsur personifikasi ialah unsur yang menggunakan kiasan untuk memberikan sifat manusia daripada segi perasaan, perlakuan dan sebagainya kepada benda-benda mati, idea, binatang dan lain-lain yang mujarad. Unsur ini menjadikan benda atau binatang seolah-olah manusia. Sifat-sifat manusia seperti perasaan dan keinginan diberikan kepada benda, binatang dan seumpamanya menjadikannya seperti manusia. Contohnya ialah: 

“Alangkah mudah kalau traktor itu dapat mengoyakkan tanah bendangnya” (m/s:109)

“Besok lusa aku hantar. Datanglah traktor itu menjerti-jerit di bendang kau” (m/s: 120)

“Biar traktor itu mengoyak-ngoyak bendang kau sampai dalam” (m/s:121)

“Tanah-tanah sawah kita habis terkoyak” (m/s: 129)

ii) Unsur hiperbola

Hiperbola menggambarkan karya sastera yang mempunyai unsure yang agak keterlaluan atau berlebih-lebihan seolah-olah tidak masuk akal. Namun demikian, perbandingan atau cerita yang digambarkan itu masih menarik dan indah. Hal ini adalah bertujuan untuk memperhebat serta meningkatkan kesan dan pengaruh dalam kalangan pembaca. Oleh itu, gaya bahasa ini melibatkan kata-kata dan kalimat seperti:

“Kita bubuh Malinja di baruh itu. Dia akan tumbuh menjangkau udara.” (m/s:53) 

“Mengapa kau suka sangat sebut nama-nama anak kesayangan Tuhan itu?” (m/s: 55)

“Cerah hamper-hampir sesuku petak itu apabila matahari menikam ubun-ubun.” (m/s: 61)

iii) Unsur simile

Simile merupakan bahasa kiasan yang digunakan dalam karya sastera. Unsur simile juga merupakan perbandingan sesuatu benda, peristiwa atau situasi dengan benda lain yang hamper sama. Perbandingan simili merupakan perbandingan ynag jelas kerana disertai kata-kata seperti umpama, laksana, seperti, macam dan bagai. Di samping itu, similie juga dikenali sebagai penggunaan kata-kata membangkitkan imaginasi pembaca untuk menanggapi maksud pengarang. Gambaran keadaan atau suasana kehidupan manusia atau kesedihan sesuatu akibat daripada sesuatu kejadian atau peristiwa. Antara contoh penggunaan simile dalam karya Ranjau Sepanjang Jalan ialah:

“Biar anak –anaknya hitam macam keeling” (m/s:108) 

iv) Unsur metafora

Menurut Keraf (2004:127) dalam Andri Wicaksono, M.Pd, anafora adalah repetisi yang berwujud perulangan kata pertama pada tiap baris atau kalimat berikutnya. Oleh itu, metafora merupakan bahasa kiasan yang tidak menggunakan kata-kata bandingan seperti simile. Kiasan jenis metafora merupakan kiasan yang menyebut terus kepada benda atau binatang yang hendak diumpakannya. Hal ini juga, perbandingan metafora adalah lebih ringkas dan padat. Antara contoh metafora yang terdapad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah:

”Sebulan tujuh hari Jeha dan anak-pinaknya berkubang macam kerbau dalam baruh” (m/s: 137) 

v) Unsur analogi

Analogi di sini dimaksudkan persamaan antara dua perkara atau peristiwa atau keadaan yang dibandingkan dengan maksud menjelaskan sesuatu itu mempunyai persamaan. Unsur analogi digunakan untuk menjelaskan atau membuktikan tentang sesuatu perkara. Contoh yang terdapat dalam karya:

”Bunyinya macam kepala angin tertampan puncak bukit. Gaungnya macam bunyi badak berendam dalam rimba” (m/s: 57)

Unsur penegasan

Penggunaan diksi atau ayat-ayat penegasan kerap kali kita dapati dalam bahan penulisan kreatif. Bahagian yang ditegaskan akan diulang-ulang beberapa kali. Unsur-unsur penegasan berlaku pada bunyi, kata, ayat atau seumpamanya. Antara unsur-unsur penegasan tersebut adalah seperti berikut :

i. Unsur repetasi

Unsur repetisi atau lebih dikenali dengan unsur pengulangan bunyi. Bertujuan untuk menegaskan atau menimbulkan nilai estetik melalui bunyi yang berirama dan indah. Pengulangan bunyi dilakukan sama ada dengan cara mengulang bunyi yang sama dalam perkataan-perkataan yang sama ataupun frasa atau ayat yang sama bagi maksud penegasan. Contoh yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah:

“Lahuma hidup dari lumpur. Jeha hidup dari lumpur.Sanah hidup dari lumpur. Milah hidup dari lumpur.Jenab hidup dari lumpur. Semek hidup dari lumpur.Liah hidup dari lumpur. Lebar hidup dari lumpur. Dan Kiah juga hidup dari lumpur” (m/s: 49)










TEKNIK KEPENGARANGAN

Menurut Rashid Hj. Md Idris et al (2013), ciri kepengarangan merujuk kepada aspek keperibadian yang dicapai oleh seseorang pengarang. Seorang pengarang perlu mempunyai pengalaman artistik dan berharga kerana ianya akan mempengaruhi daya kreativiti seorang pengarang. Pengalaman yang diperoleh oleh pengarang kebiasaannya dikutip melalui bayangan, ingatan, kenangan, kutipan pengaruh, pembacaan, pemerhatian, pengamatan, kajian dan penyelidikan dan apa sahaja unsur yang hadir termasuklah yang bersifat konseptual dan kontekstualan. Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa kepengarangan sebagai cara atau bagaimana seseorang itu menulis bagi mendapatkan sebuah jalan cerita yang lengkap. Teknik kepengarangan juga merujuk kepada kebijaksanaan seseorang pengarang dalam menyampaikan ceritera sesebuah karya. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, terdapat aspek kepengarangan yang pelbagai telah digunakan oleh pengarang iaitu Shahnon Ahmad dalam menghuraikan jalan cerita dengan lebih menarik. 

Novel Ranjau Sepanjang Jalan yang dihasilkan pada tahun 1966 merupakan suatu novel yang digarap dalam bentuk keindahan yang tinggi. Lakaran sebuah kehidupan masyarakat jelas tergambar menerusi novel ini. Shahnon Ahmad telah menghasilkan novel ini berasaskan pengaruh pengalaman setempatnya yang dilalui oleh masyarakat khususnya penduduk-penduduk kampung yang mengalami kemelut kemiskinan. Beliau mengisahkan kehidupan petani di tempat kediamannya di Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah. Novel ini terhasil dari suasana tanah air yang sedang menghadapi zaman kemelut dan pancaroba iaitu setelah sembilan tahun merdeka dan sebelum berlakunya tragedi 13 Mei 1969. Shahnon Ahmad menghasilkan novel ini dengan memberi fokus utama kepada masalah-masalah kemiskinan, politik, ekonomi, pendidikan dan sains dan teknologi yang membelenggu rakyat di luar bandar.

Menurut Mohd Yusof Hasan (2009), novel yang telah lahir selama 40 tahun ini masih mantap dengan beberapa ciri intrinsik dan ekstrinsik seperti tema, bahasa, latar, perwatakan dan tekniknya, serta dengan persoalan-persoalan politik, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, kesenian dan lain-lain lagi dalam pembinaan masyarakat dan peradaban Melayu. 

Kepengarangan Shanon Ahmad

Kekuatan novel Ranjau Sepanjang Jalan terletak pada dua perkara utama iaitu jalinan plot cerita yang kemas dan pemakaian bahasanya yang hidup dan segar.

Plot Cerita

Melalui novel ini penulis berjaya mencipta satu plot yang penuh kreatif dan permainan emosi yang berjaya menyentak akal fikiran kelompok masyarakat sekarang yang mana petani pada waktu dahulu sanggup berjuang untuk mencari sesuap nasi untuk diri, keluarga dan masyarakat setempat.

Permulaan kisah di dalam novel ini, Shahnon Ahmad telah memperkenalkan watak-watak utama iaitu Lahuma dan Jeha serta tujuh orang anak gadis mereka Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Mereka sekeluarga berjuang menguruskan sawah sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Shahnon Ahmad menggunakan latar Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah yang merupakan kampung kelahirannya. Perkembangan novel ini diteruskan dengan pengenalan musuh-musuh Lahuma yang sering merosakkan pekerjaannya sebagai petani. Musuh-musuh yang dimaksudkan ialah ketam putih dan burung Tiak yang menyerang tanaman padi Lahuma. 

Konflik yang dicetuskan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah apabila Lahuma yang akhirnya kecundang dalam perjuangannya sebagai ketua keluarga kerana kakinya terpijak onak nibung yang meragut nyawanya sendiri. Klimaks cerita ini diperlihatkan dengan watak Jeha yang terpaksa memikul beban sebagai ketua keluarga setelah kematian Lahuma. Malangnya Jeha tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang dihadapi sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung Tiak menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi kurang siuman akibat dugaan mendatang tanpa henti semasa mengusahakan sawahnya. Shahnon Ahmad telah meleraikan plot penceritaan novel ini dengan sikap dan amanah yang diterima oleh Sanah. Segala bebanan dan tanggungjawab keluarga akhirnya diambil alih oleh anak sulung Lahuma dan Jeha ini. Sanah bersama adik-adiknya adalah penerus perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah mereka.

Plot cerita yang dibawakan oleh Shahnon Ahmad ini penuh kesungguhan dalam menampilkan watak-watak yang tiada kenal erti putus asa sehingga meragut nyawa dan akal fikiran yang waras. Shahnon Ahmad juga turut mengetengahkan watak-watak wanita seperti Jeha dan Sanah yang terus berani berjuang mencari rezeki sekalipun tahu bahawa kudrat wanita kadangkala ada lemahnya namun semua itu bukan alasan dalam meneruskan kehidupan. Novel ini memiliki pemeliharaan pada kesatuan jalan cerita yang diperoleh daripada pemilihan dan penyusunan peristiwa-peristiwa yang sesuai dan berkesan. 

Gaya Bahasa

Shahnon Ahmad juga menitikberatkan penggunaan bahasa di dalam novelnya serta mempunyai identitinya yang tersendiri. Beliau sangat mahir dalam menggunakan bahasa dengan gayanya tersendiri sehingga apa yang hendak disampaikan tersembunyi di sebalik ayat dan ungkapan. Corak penulisan dan gaya bahasa yang mantap dan penuh maksud tersurat dan tersirat terutama dalam memaparkan permasalahan hidup masyarakat desa begitu memberi impak yang mendalam kepada pembaca. Keistimewaan pada gaya bahasa yang digunakan oleh Shahnon Ahmad pula adalah kerana beberapa hal : 

i) Terlihat pada pembentukan ayat-ayatnya yang pendek tetapi padat dan bertenaga. Contoh:

“Tapi mak nak kerjakan juga sawah kita. Mak tajak juga. Mak cabut semai. Mak kuak sampah-sarap. Mak timbun menerung masam atas batas. Mak takung air. Mak Kutip ketam.” (m/s 212)

ii) Bahasa kiasan banyak ditimbulkan dalam bentuk yang asli. Contoh:

“Cicit…apa cicit? Cucu pun belum ada. Yang sulung tu pun masih tak habis bermain-main pasir dan tempurung. Awak pula sebut cicit??(m/s 6) 

Matahari masih juga garang dengan sinarannya. (m/s 212)


iii) Perulangan juga agak kerap digunakan untuk tujuan-tujuan penegasan dan keberkesanan. Contoh:

“Lahuma mengancingkan giginya atas bawah. Duri dalam daging mendesak-desak menghiris daging reput. Berdenyut-denyut bisanya hinggakan Lahuma mengalah juga. Dan perasaan kekalahan itu diiringi dengan keluhan memanjang. Dia menunduk dan mengurut manja pada cabuknya. Dia merebahkan badan di atas lantai. Dia beralih ke kanan.Dia membongkok-bongkokkan kaki sakitnya. Dia meronta-ronta kesakitan. Dia bingkas duduk. Dia tidur. Bingkas duduk lagi, tidur lagi. Dan kesakitan itu mengamuk juga tanpa sebarang simpati.” (m/s 70) 


iv) Dialog yang ditimbulkan kebanyakan dapat menggambarkan berbagai-bagai perasaan watak. Contoh :

Tiba-tiba perut itu pecah berderaian. Urat perut berkecai. Lemak-lemaknya mengalir ke luar ke tengah sawah bersama-sama dengan air lendir yang hanyir itu. Jantung dan hati dan paru-paru Lahuma tersembur keluar.

“Bang Lahuma! Bang Lahuma! Bang Lahuma!” jerit Jeha sekuat tenaga. (m/s 211)













NILAI ILMU

Konsep nilai

Menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.

Konsep ilmu 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu merupakan hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125).

Jenis-jenis ilmu dalam karya Ranjau Sepanjang Jalan

Terdapat beberapa jenis ilmu yang dapat dilihat dalam karya ranjau sepanjang jalan, iaitu:

Ilmu firasat

Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlwan-pahlawan kerana dengan itu dia boleh membantu mereka menewaskan musuh (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125-128). Dalam Karya Ranjau Sepanjang Jalan, ilmu firasat dapat dilihat dalam pelbagai bentuk iaitu melalui mimpi dan melalui kepercayaan dan lain-lain. Petikannya: 

“Mak sebut nama bapa beberapa kali.” Jeha tersedar. Ingatan pada mimpi karut tadi terbayang. Kaki suaminya sebesar titi sungguh menakutkan. Wajah dan perut Lahuma amat mengerikan. Lahuma menolaknya dan anak-anak. Lahuma makan ketam. Perutnya yang buncit pecah. Jeha teringat kembali. Kemudian dia beristighfar dan meminta menguatkan iman daripada ALLAH Yang Maha Esa…….. “Bapamu marah pada kita, rintih Jeha. Dari kelopak kedua-dua belah matanya, mengalir air yang jernih. (Ranjau Sepanjang Jalan: 211-212)

Lahuma dan beberapa orang yang masih berkerumun di halaman rumah Ali memerhatikan mereka berdua berjalan. Masing-masing membayangkan rasa simpati. Kalaulah ular itu sempat mematuk kaki Jeha, mereka semua sudah yakin tentang maut yang akan menimpa kampung itu. (Ranjau Sepanjang Jalan: 52)


“Hujan berarak ke barat!” seru Jeha lagi. Dia memandang wajah suaminya. Bukan kerana takut pada hujan. Hujan tak hujan mereka akan ke sawah juga. Sebenarnya, Jeha teringat petua dahulu . Awan hitam berarak ke barat membawa alamat tidak baik. Bah akan menggila. (Ranjau Sepanjang Jalan: 90)

Ketiga-tiga peristiwa di atas menunjukkan ilmu firasat yang digunakan. Peristiwa pertama ialah mimpi. Dalam Bab 15, unsur mimpi dikemukakan walaupun sedikit sahaja. Shahnon Ahmad menceritakan bahawa Jeha (Isteri Lahuma) telah bermimpi tentang suaminya pulang dengan tidak bercakap apa-apa dan tidak menghiraukan isteri dan anak-anaknya yang merayu serta berperangai pelik. Bagi Jeha, maksud mimpi tersebut menyatakan bahawa lahuma marah dengannya dan anak-anaknya. Peristiwa kedua ialah firasat penduduk kampung. Penduduk kampung Banggul Derdap mempercayai bahawa jika ular itu sempat mematuk kaki Jeha, mereka sudah yakin tentang maut yang akan menimpa kampung tersebut. Peristiwa yang ketiga ialah melalui tanda atau petua orang dahulu. Jeha teringat peristiwa orang dahulu awam hitam berarak ke barat membawa alamat tidak baik.

Ilmu perdukunan

Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun. Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Dalam Ranjau Sepanjau Jalan, ilmu pendukunan banyak digunakan. Contoh petikan berkaitan dengan ini:

Seorang pawang yang dipanggil cuba membuat air jampi dengan beras kunyit dan kemenyan tetapi duri ini masih juga tersumbat di dalam. Kadang-kadang Lahuma naik geram sendirian lalu memicit-micit kakinya sekuat tenaga sampai menjerit-jerit kesakitan tetapi kesakitan yang keluar bukan juga duri. Cuma darah mengalir membuak-buak. (Ranjau Sepanjang Jalan: 97)

Puas bomoh datang memberi ubat sakit busung tetapi air bisa yang hanyir itu mengalir juga melalui retak-retak pada perut. Jeha tidak sanggup ke sawah lagi. Perut itu perlu dicuci dan dibasuh hingga air hanyirnya meresap kain basahan.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 144)

Pernah tuk bomoh Kampung Banggul Derdap menjamu jin dan penunggu untuk menyekat kedatangan binatang itu. Lima enam ekor ayam langsai begitu saja. Ketam-ketam itu datang juga malah bertambah banyak lagi.
(Ranjau Sepanjang Jalan: 197)

Melalui ketiga-tiga peristiwa di atas, menunjukkan penduduk kampung Derdap ini mempercayai kewujudan bomoh atau pawang. Perisiwa pertama, ketika Lahuma sakit kaki, Jeha memanggil pawang supaya mengubati dan mengeluarkan duri daripada kaki suaminya. Peristiwa kedua pula, ketika penyakit Lahuma semakin teruk iaitu sakit busung. Sekali lagi, Jeha memanggil bomoh untuk mengubati suaminya. Peristiwa ketiga, apabila kampung derdap diserang oleh ketam. Seterusnya, tuk bomoh kampung derdap sendiri melakukan upacara menyekat binatang tersebut datang.

Ilmu jampi

Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutama pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural. Dalam Karya Ranjau Sepanjang Jalan, ilmu jampi kurang digunakan. Ada beberapa sahaja dijumpai dalam novel ini. Lahuma sendiri pernah menggunakan ilmu jampi. Petikannya seperti berikut:

Lahuma menunjuk-nunjuk tempat isterinya bertemu ular tedung tadi. Buah-buah limau purut itu dilontar jauh-jauh sambil bersorak riuh- rendah. Lahuma sendiri melontar dua, tiga biji serta mulutnya terkumit-kamit membaca sesuatu yang kurang jelas di pendengaran. (Ranjau Sepanjang Jalan: 53-54)
PANDANGAN HIDUP

Satu konsep mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Menurut pandangan sarjana Islam, Syed Naquib al-Attas (1972), pandangan hidup mestilah bersumberkan Islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Dengan itu dapatlah dirumuskan pandangan hidup menurut Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.

Menurut Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Hj. Rohani (2014), pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Oleh hal yang demikian, pandangan hidup orang Melayu lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Pandangan hidup tentang manusia dapat dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu tentang keluarga, pemimpin dan masyarakat.

Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad menggambarkan kehidupan orang Melayu dahulu yang terlibat dalam bidang pertanian. Hal ini demikian kerana Shahnon Ahmad menggunakan sesuatu yang terdapat di sekeliling sebagai sumber ilham bagi menghasilkan karya. Jelas bahawa dalam novel ini terdapat hubungan manusia dengan Tuhan, dengan alam dan hubungan sesama manusia. Berikut merupakan beberapa bentuk pandangan hidup yang ditonjolkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan,

Kemiskinan dan penderitaan

Novel Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon Ahmad dilihat mengetengahkan isu-isu kemiskinan dan penderitaan penduduk kampungnya. Sebagai contoh pembawaan watak Jeha dan Lahuma serta keluarganya. Plot novel Ranjau Sepanjang Jalan sangat menarik dimana keadaan padi yang sedang menanti masak tiba-tiba diserang oleh ketam berjuta-juta. Ketam tersebut lantas memusnahkan padi sebendang dan Lahuma pula menderita akibat tertusuk duri pada kakinya. Duri nibung telah menyebabkan dia tidak dapat lagi turun ke sawah. Akibat tusukkan duri nibong juga kakinya membengkak dan menjadi busuk. Berikut merupakan petikan yang menggambarkan kesakitan yang dialami oleh Lahuma.

“Kadang-kadang Lahuma naik geram sendirian lalu memicit-micit kakinya sekuat tenaga sambil menjerit-jerit kesakitan tetapi yang keluar bukan juga duri. Cuma darah mengalir membuak-buak.” (Shahnon Ahmad, 2006:97)

Jeha telah berkorban jiwa dan raganya untuk merawat penyakit Lahuma yang sangat tenat tersebut. Penderitaan yang dialami oleh keluarga Lahuma yang bergantung hidup dengan penanaman padi semakin dirasai setelah kematian Lahuma dan seterusnya kerja-kerja bersawah diambil alih oleh Jeha yang bertindak sebagai ketua keluarga. Namun, masyarakat yang sering mengejek Jeha sebagai janda menyebabkan Jeha seakan-akan berputus asa dengan kehidupannya yang terpaksa membesarkan tujuh orang anaknya. Tekanan jiwa yang dialami Jeha akhirnya membawa Jeha ke pusat sakit jiwa. Kehidupan bersawah diteruskan oleh anaknya Sanah dan Milah. Kemiskinan dan penderitaan petani yang bergantung hidup dengan bersawah ini berterusan sehingga ke akhir penceritaan. 

Mati hidup bergantung pada sawah

Pandangan hidup kedua yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah mati hidup bergantung kepada sawah yang menjadi kekuatan kepada keluarga Lahuma untuk terus mengerjakan sawah. Dalam karya ini Shahnon Ahmad menafikan keluarga Lahuma dengan kehadiran ‘watak lain’ yang dapat disertakan dalam kehidupan mereka. Tanggungjawab ditonjolkan dalam novel ini menerusi peranan Lahuma yang bertindak sebagai ketua keluarga. Perihal tanggungjawab yang ditonjolkan oleh Lahuma dapatlah dirasai menerusi petikan dibawah,

“Padi mesti ditanam. Mesti dijaga. Sudah berbelas-belas dan berpuluh-puluh tahun Lahuma menjaga padi itu. Lahuma tidak pernah kalah lagi. Jeha teringat pesanan Lahuma dulu, “Anak-anak kita perlu makan siang malam. Tak ada nasi, anak-anak kita akan mati. Makan kita bergantung pada sawah. Pakaian kita bergantung pada sawah. Sakit atau sihat bergantung pada sawah. Mati hidup bergantung pada sawah” (Shahnon Ahmad, 2006:213)

Oleh sebab, kehidupan bersawah inilah Lahuma tetap berkeras ingin mengerjakan tanah padi walaupun kakinya telah tertusuk duri nibong. Sawah ini bukan sekadar menggambarkan kehidupan Lahuma semata-mata, tetapi Shahnon Ahmad turut menjelaskan bahawa penduduk kampung, tanpa padi mereka akan mati. Sebenarnya pemikiran masyarakat masa itu masih miskin, namun jika kita melihat kini masyarakat yang rajin dan cekal begini boleh menjadi kaya kerana mereka melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh untuk hidup.

Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan

Novel Ranjau Sepanjang Jalan dimulai dengan satu prinsip iaitu “Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan, dipegang oleh Allah Azzawajalla”. Prinsip atau pegangan ini diulang sebanyak empat kali sebelum cerita sebenarnya dimulakan. Penggunaan perkataan demi perkataan dalam bentuk doa, penyataan kesyukuran atau rujukan yang sama. Menurut Hamzah Hamdani dan Zeti Aktar Jaffar (2007), si pengucap saksi bahawa Allah adalah tuhan Yang Maha Esa dan di tangan-Nya sahajalah terletak segala-galanya. Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan menerapkan satu prinsip atau pegangan ini tidak pernah luput daripada ingatan, sama ada watak naratif mahupun ingatan pembaca.

“Oh Tuhanku yang Maha Besar yang Maha Agung. Benarkan aku mula bekerja esok dan biarlah selama itu aku dilindungi olehMu. Jauhkan aku dari segala bencana alam, dari segala penyakit, dari lipan-lipan dan ular-ular dan kala jengking yang bisa-bisa…Jauhkan segala malapetaka yang menghalang kami.” (Shahnon Ahmad, 2006:15)

Jelas menunjukkan bahawa pegangan terhadap agama menghadirkan fungsi sebagai pegangan yang menjadi perujuk dalam kehidupan. Mohd Yusof Hasan (2009), Dia (Lahuma) tidak bimbang dengan kehidupan tetapi tetap tawaduk kepada kuasa Allah.

“Mati hidup…Ini pegangan Lahuma sekarang. Malah, telah menjadi pegangan yang kukuh sejak zaman datuknya Haji Debasa…Jeha juga serupa pegangannya. Dia Cuma ikut suaminya saja. Ikutan itu bukan sekadar ikutan buta tuli semata-mata, tetapi Jeha puna ada pegangan juga. (Shahnon Ahmad, 2006:1)

Perjuangan hidup yang mesti diteruskan

Pandangan hidup yang seterusnya ditonjolkan dalam konteks perjuangan hidup yang mesti diteruskan. Nilai ini direalisasikan berlatar belakang gambaran kegetiran yang ekstrem. Dalam perjuangan mencari rezeki, Lahuma sahaja merelakan nasib mereka berbuat sesuatu. Yang harus jelas di sini perjuangan ini mewajibkan Lahuma dan keluarga berikhtiar bermati-matian, di samping berserah kepada tuhan. Hal ini terbukti apabila Lahuma bekerja bersungguh-sungguh dan sanggup pula berkorban untuk mencari rezeki. Lahuma juga merelakan anak-anaknya berbuat demikian, walaupun hatinya sungguh pedih dan terharu kerana terpaksa menggunakan tenaga muda anak-anak perempuannya. Tindakan ini jelas menunjukkan sikap seorang yang gigih, berani dan berjiwa kental yang sanggup melakukan apa sahaja, walaupun bergadai nyawa, demi mencari rezeki yang halal.

“Esok aku akan turun juga, getus hatinya lagi. Biar kakinya sakit. Biar bengkaknya menanah hingga membuak-buak. Lebih sakit daripada itu dia boleh tahan. Biar bengkaknya melarat hingga tertampan jantung. Allah itu adil. Dia tahu siapa perlu hidup, siapa perlu mati. Aku akan turun ke sawah juga esok, nekadnya. Antara sawah dengan maut, Lahuma mulai serba salah.” (Shahnon Ahmad, 2006:113)

Berdasarkan petikan menggambarkan betapa kuatnya perjuangan Lahuma yang ingin bekerja bagi mencari rezeki yang halal kepada isteri dan anak-anaknya. Kesukaran mendapatkan rawatan menyebabkan Lahuma hanya mampu berdoa kepada Allah agar dirinya diberi kesihatan dan dapat meneruskan mencari rezeki yang halal hasil daripada usahanya sendiri.
NILAI BUDAYA

Shahnon Ahmad merupakan seorang pengarang yang memperlihatkan sikap yang jujur, berterus terang, tegas dan berani dalam menyampaikan sesuatu buah fikiran yang difikirkannya melampau dalam nada dan gaya penulisan dan nada yang tegas. Namun begitu, ada kalanya menggunakan perkataan yang halus dan kasar. Shahnon Ahmad banyak bercerita mengenai kisah dalam dirinya, menulis berdasarkan pengalaman peribadi dan melihat sesuatu isu dari sudut sejagat. Selain itu, beliau juga merakam budaya dan merupakan pemerhati yang teliti dan kritis.

Terserlah gambaran yang jelas tentang budaya dan pandangan hidup penduduk kampung asalnya yang hidup dalam kemiskinan berdasarkan karya yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad. Pemikiran dan pemahaman kolot masyarakat orang kampung secara tidak langsung telah menyebabkan pembangunan lambat berkembang di kawasan pedalaman khususnya di kawasan kampung yang terpencil. Sikap petani yang mudah berputus asa semasa menghadapi musibah atau kesusahan juga sangat ditekankan oleh Shahnon Ahmad dalam karyanya. Hal ini demikian kerana, beliau ingin menyedarkan pertani untuk membangunkan dan mengubah pendirian orang kampung yang kolot dan lurus itu.

Antara nilai budaya yang diterapkan oleh Shahnon Ahmad dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah nilai kasih sayang dalam keperitan hidup sebagai keluarga. Sebagai contoh, walaupun hidup dalam keluarga petani, kasih sayang yang ditunjukkan oleh keluarga Lahuma tidak berkurang dan berbelah bahagi. Lahuma ditunjukkan dengan watak yang begitu menyayangi isterinya Jeha dan anaknya yang seramai tujuh orang itu. Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila Lahuma tidak membenarkan Jeha dan anak-anak menolongnya di bendang dan ini dapat dilihat dalam petikan berikut:

“Esok, kamu semua tak usah pergi. Biar saya seorang dulu pergi tengok-tengok dan menebas. Pagar kena buat. Mungkin tahun ini babi hutan banyak benar kata Mat Diah.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 17)

Ketika Jeha diserang ular, Lahumalah yang bertindak membunuh ular tedung tersebut dengan mencencang dan menumbuk kepala ular tersebut sehingga mati. Hal ini juga dapat dilihat ketika Lahuma tidak boleh bekerja kerana kakinya telah terpijak duri nibung. Jeha dan dua orang anak mereka iaitu Sanah dan Milah yang membanting tulang mengerjakan sawah bagi menggantikan tempat Lahuma yang sedang sakit. Sifat kasih sayang inilah yang membolehkan mereka berjaya dan sanggup menempuh liku-liku hidup terutamanya bagi menghapuskan musuh-musuh padi.

Selain itu, sikap hidup saling membantu dan bekerjasama turut dipaparkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Hal ini jelas dilihat semasa Lahuma terpijak duri nibung. Orang kampung telah bersama-sama mengangkatnya ke pengusung dan membawanya ke permatang dan kemudiannya mengusung Lahuma pulang ke rumah. Shahnon Ahmad turut menyelitkan sifat ziarah-menziarahi dan hal ini ditunjukkan semasa orang kampung melawat Lahuma pada malamnya selepas kejadian tersusuk duri nibung dan ia dapat dilihat dalam petikan:

Malam itu, rumah Jeha didatangi tetamu. Mereka datang sekadar melihat keadaan Lahuma. Seorang dua mengesyorkan agar kaki yang tertusuk duri nibung itu direndam di dalam air daun karapule atau campur ramuan sintuk bersama akar lengkuas.

(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 97)

Keprihatinan dan kewibawaan sikap tuk penghulu di dalam melihat permasalahan keluarga Lahuma dengan cara memberikan bantuan dalam bentuk peralatan pertanian. Hal ini dapat dilihat dalam petikan:

“Biar aku hantar traktor ke sawah kau selama dua tiga hari. Semuanya tentu habis.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, 2006: 152)

Di samping itu, kerjasama dan kesepakatan penduduk kampung Banggul Derdap dapat dilihat ketika kematian Lahuma. Penduduk kampung telah bersama-sama bergotong-royong menguruskan majlis pengebumian Lahuma Walaupun jenazah Lahuma berbau hanyir dan busuk dengan nanah dan darah yang keluar.





PEMIKIRAN SHAHNON AHMAD DALAM NOVEL RANJAU SEPANJANG JALAN



Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pemikiran bermaksud perihal berfikir, iaitu apabila dihubungkan dengan pengarang, ia merupakan perihal berfikir seseorang pengarang dalam penulisan karya sasteranya. Mohd Rashid et.al (69:2014) pula menerangkan bahawa pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakan menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Sehubungan dengan itu, dalam menelusuri pemikiran yang terkandung dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ), kita perlu melihat pemikiran pengarang itu sendiri, iaitu sasterawan negara Shahnon Ahmad.

Shahnon Ahmad menganggap karya sastera sebagai seismograf kehidupan manusia. Beliau menegaskan bahawa jika seismograf hanya mencatat gerak gempa yang merupakan bencana, karya sastera pula bukan sahaja mencatat tetapi menganalisis segala gerak gempa kehidupan. Dalam erti kata lain, gerak gempa ialah segala rintangan dan halangan dalam kehidupan sebagai contohnya kemiskinan (Hazami Jahari dalam Hamzah Hamdani, 332:2006). Seterusnya, Shahnon Ahmad juga mendefinisikan novel sebagai satu bentuk pentafsiran rencaman hidup manusia menerusi satu bentuk cereka atau realiti rencaman hidup dan imaginasi. Dalam kata lain, novel ialah penulisan karya yang menggabungkan antara pengalaman peribadi yang dialami oleh penulis berdasarkan realiti seterusnya diadun dengan imaginasi kreatif melalui bentuk cereka.

Berdasarkan novel RSJ, Shahnon Ahmad cuba membuat pembaharuan teknik dan perkembangan sifat-sifat negatif dan pesimistik manusia seperti digambarkan melalui watak Jeha yang tidak dapat menahan perit derita kehidupan sehingga menyebabkan dia menjadi gila. Tambahan lagi, S. Othman Kelantan (Zahrah Ibrahim, 68:1987) menyatakan bahawa Shahnon Ahmad juga menggunakan teknik arus kesedaran dan monolog dalaman secara maksimum yang mungkin sukar difahami pembaca melainkan pembaca sendiri mengenali Shahnon Ahmad itu sendiri dan terjemahan pemikirannya dalam karya RSJ. Pada dasarnya, RSJ mengandungi tema berkaitan persoalan kemasyarakatan, iaitu kehidupan masyarakat petani di desa yang agak terpencil dan watak utamanya, Lahuma dan Jeha, terpaksa menghadapi segala bentuk ancaman bagi meneruskan kehidupan (Sahlan Mohd. Saman dan Che Abdullah Che Ya, 140:2005).

Pemikiran Shahnon Ahmad secara langsung diterangkan oleh beliau sendiri dalam bukunya yang diterjemahkan oleh Hawa Abdullah yang bertajuk “Shahnon Ahmad: Literature as a seismograph of life”. Dalam novel RSJ, Shahnon Ahmad telah mendeskripsikan buah-buah fikiran kehidupan dan pengalaman sebenarnya ke dalam jalan cerita dan watak-watak Lahuma serta Jeha bersama tujuh anak mereka. Beliau menyatakan bahawa ‘the novel RSJ is an example of a work, which viewed from one aspect, is a seismograph recording poverty-stricken life representing the analysis of peasant folk suffering’ (Hawa Abdullah, 4:1994). Apabila diterjemahkan, novel RSJ dilihat menggunakan satu aspek pemikiran sahaja iaitu seismografi kehidupan manusia yang miskin dan terpaksa melalui pelbagai rintangan dan kepayahan untuk hidup.

Shahnon Ahmad telah menggunakan latar belakang keluarganya sendiri yang berasal daripada Banggul Derdap ke dalam latar masyarakat RSJ seperti masyarakat kampung yang tidak tahu membaca seperti watak Lahuma dan Jeha. Tambahan lagi, mereka turut memperlihatkan bahawa susahnya untuk hidup dengan berbekalkan kesabaran dan kesusahan yang teruk bekerja sebagai petani untuk mendapatkan sesuap nasi bagi menyara keluarga dan meneruskan hidup. RSJ merupakan novel yang membincangkan semata-mata tentang kemiskinan dan kesusahan golongan petani daripada awal sehingga pengakhiran cerita dan mencerminkan cara petani ini melangsungkan kehidupan dalam penderitaan sehingga kebahagiaan itu hanya datang pada waktu kematian seseorang.

Boleh dikatakan novel RSJ ini menggambarkan secara jelas pengalaman hidup Shahnon Ahmad di Banggul Derdap kerana pemilihan judul buku ini juga menggunakan perkataan ‘Ranjau’ yang membawa maksud benda tajam (daripada besi dan sebagainya) yang dipasang di tanah untuk melukai orang dan membawa kiasan mengenai kesukaran seseorang dalam hidupnya. Berdasarkan masyarakat asal Banggul Derdap, terdapat banyak pencuri lembu yang telah pacakkan ranjau tersebut untuk memerangkap pemilik lembu daripada menangkap mereka. Seterusnya, Shahnon Ahmad telah menggunakan nama yang agak berlainan dengan nama-nama yang biasa digunakan oleh pengarang lain. Nama Lahuma asalnya daripada perkataan ‘huma’ yang membawa makna ladang padi, Jeha pula daripada nama Zulekha (isteri yang gila), manakala Munah daripada Maimunah yang asalnya Maimun yang membawa maksud tuah dan nama-nama lain yang asalnya daripada perkataan lain yang membawa maksud tersendiri.

Dalam menggambarkan pemikiran Shahnon Ahmad mengenai kehidupan petani yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan ini, terdapat banyak mesej yang cuba disampaikan oleh beliau. Antara mesej utama adalah seperti berikut:

Kesusahan dalam kehidupan

Dalam menjalani kehidupan, kita perlu menghadapi kesusahan, iaitu selagi kita masih hidup, kita tidak dapat dipisahkan daripada apa-apa jenis kesusahan. Mesej ini menonjolkan kemiskinan kaum Melayu yang dahulunya hidup susah yang hidup di kampung. Dalam RSJ, menonjolkan watak Lahuma yang bersusah payah untuk menyara keluarganya dengan bekerja sebagai petani dan kesusahan hanya berakhir dengan kematian.

Menerima takdir Allah

Sehubungan dengan pemikiran Shahnon Ahmad yang telah menghasilkan teori Sastera Islam dan Tasawwur Islam dalam konteks sastera Melayu, inti patinya bahawa seorang pengarang menghasilkan karya yang tergolong ke dalam kelompok sastera Islam dengan syarat karya itu ditulis ‘kerana Allah dan bermanfaat kepada manusia’ (Sahlan Mohd.Saman dalam Sahlan Mohd. Saman dan Shaiful Bahari Md. Radzi, 206:2005). Shahnon Ahmad telah meletakkan dalam RSJ satu pemikiran keislaman iaitu menerima takdir Allah dengan redha dan ikhlas dalam menjalani kehidupan. Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dalam hidup, Lahuma menerima kesusahan tersebut sebagai ketentuan daripada Allah sebagai ujian dalam hidupnya. Shahnon Ahmad tidak meletakkan sikap yang negatif dalam watak Lahuma terutamanya, iaitu Lahuma tidak memberontak atau menyalahkan takdirnya sebagai petani yang perlu bersusah payah dalam kehidupannya tetapi menonjolkan sikap berserah diri dan redha dalam ketentuan Allah serta tetapi berusaha dan bersemangat untuk menghadapi hidup dan menyara keluarganya. 

Tanggungjawab ketua keluarga

Shahnon Ahmad turut menyampaikan mesej bahawa dalam sesuatu keluarga orang Melayu, terutamanya yang tinggal di kampung, seorang ayah dilambangkan sebagai tulang belakang sesuatu keluarga. Seorang ayah berperanan yang bukan sahaja menjaga keselamatan keluarganya, tetapi juga bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga. Ketiadaan seorang ayah atau ketua keluarga, sesuatu keluarga tersebut dipandang rendah atau serba kekurangan oleh jiran atau orang sekeliling. 

Tanggungjawab besar ini sememangnya susah untuk digalas oleh seorang wanita, terutamanya seorang janda yang mempunyai anak. Sebagaimana dalam RSJ, tanggungjawab Lahuma sebagai ketua keluarga diambil alih tugasnya oleh Jeha setelah kematian suaminya dan Shahnon Ahmad telah meletakkan bahawa ketidakmampuan wanita yang berperanan sebagai seorang ayah dalam mengerjakan sawah padi dan menjaga keluarganya menunjukkan kebesaran tanggungjawab sebagai ketua keluarga oleh wanita.

Pemikiran masyarakat desa

Lahuma dan Jeha dari kaca mata Shahnon Ahmad amat jauh beza kedudukan, pemikiran, latar belakang dan berbagai-bagai-bagai aspek kehidupan dan kemanusiaannya jika dibandingkan dengan manusia di kota. Shahnon Ahmad meletakkan satu pemikiran bahawa masyarakat desa mempunyai pemikiran mereka yang tersendiri seperti dalam watak Lahuma dan Jeha, bahawa mereka tidak suka terhadap perubahan yang terjadi dalam kehidupan mereka sehari-hari. Mereka melihat bahawa pembangunan dan penggunaan teknologi seperti jentera dan peralatan tani moden yang lain seolah-olah melakukan kezaliman terhadap sawah padi dan membawa petanda buruk. 

Perwatakan antagonis seperti ini masih berlegar-legar dalam masyarakat Banggul Derdap dan mereka lebih selesa dan senang berpuas hati dengan nilai kehidupan yang diwarisi daripada generasi sebelumnya. Tambahan lagi, masyarakat desa turut mempunyai kepercayaan bahawa mati di rumah sendiri adalah lebih terhormat dan tenang berbanding di hospital dan Lahuma sendiri mempunyai tanggapan negatif dan takut dengan perkataan ‘hospital’ itu sendiri.

Mempertahankan hak wanita

Dalam meletakkan watak Jeha sebagai ‘pembela’ dalam RSJ, Shahnon Ahmad telah menyelitkan pemikiran dan pendedahan bahawa kaum wanita adalah kaum yang lemah terutamanya dalam mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Penonjolan watak Jeha ini secara tidak langsung sebagai satu bentuk kecenderungan pengarang terhadap pembelaan nasib wanita (ibu tunggal) dan mempertahankan hak wanita.


Wednesday, May 27, 2015

SINOPSIS RANJAU SEPANJANG JALAN

Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) merupakan salah satu novel yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad yang banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan keluarga petani sawah di Kampung Benggol, Derdep Sik Kedah. Berlatar belakangkan kampung halaman penulis sendiri iaitu Shahnon Ahmad, beliau membawa kita menghayati dan menginsafi keperitan dan kesengsaraan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada masa dahulu agar generasi sekarang sedar dan insaf bagaimana perih dan susahnya untuk mendapatkan sesuap nasi bagi meneruskan kesinambungan hidup. Lazimnya, kemiskinan itu dikaitkan dengan kesengsaraan dan penderitaan dan orang miskin dikatakan sering melarat hidupnya. Oleh itu, orang lebih membicarakan kemiskinan dari sudut material dan ekonomi semata-mata sehingga kemiskinan itu dikaitkan dengan sikap malas berusaha. Bagi Shahnon Ahmad, kemiskinan bukanlah sesuatu yang harus dimalukan. Beliau melihat kemiskinan itu sebagai satu nilai yang yang murni dan tidak membicarakan kemiskinan tersebut dalam konteks yang negatif. Kebanyakan novel yang dihasilkan oleh Shahnon Ahmad ini banyak berkisar tentang kemiskinan dan kehidupan orang kampung dan petani desa. 

RSJ ialah sebuah novel yang memaparkan kehidupan sepasang suami isteri dan tujuh anak gadisnya yang menjadi sebahagian daripada masyarakat petani di sebuah desa yang terpencil dan terpinggir daripada pembangunan fizikal dan mental. Lahuma dan Jena serta anak-anak mereka ialah petani yang mendiami sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Banggul Derdap. Hidup mereka seperti petani yang lain, umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka ialah pesawah yang miskin yang terpaksa menggunakan kudrat empat kerat itu untuk membina petak-petak sawah yang rapuh itu dan kemudian menanamnya dengan benih-benih padi. Traktor sebagai lambang pembangunan moden dalam bersawah dinikmati oleh yang berada dan berkuasa sahaja seperti Tok Penghulu. Kisah dalam novel ini bermula daripada kehidupan keluarga Lahuma bersama isterinya Jeha dan 7 orang anak perempuan mereka iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Kiah, Liah, dan Lebar yang sama-sama berjuang mengusahakan sawah sebanyak 14 relung sebagai satu kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Hidup mati keluarga ini sangat bergantung kepada hasil padi-padi tersebut. Apa yang difikirkan oleh Lahuma ialah survival keluarganya. Maka sawah yang seluas empat belas relung itu diusahakan dengan bersungguh-sungguh supaya padi sentiasa di kepuk untuk dijadikan beras dan seterusnya nasi untuk keluarganya.

Bagi Lahuma, beliau bersama dengan keluarganya menggunakan cara tradisional untuk mengusahakan sawah mereka. Beliau bukan sahaja tidak mampu menyewa traktor, jauh sekali memiliki traktor yang mahal itu, tetapi sawahnya juga tidak mempunyai sistem pengairan yang moden yang membolehkan beliau mengusahakan penanaman padi dua kali setahun seperti zaman sekarang ini. Sehubungan itu, pendapatannya cukup 3 untuk sara diri dan keluarga sahaja dan tidak boleh menabung untuk menambah keluasan sawah yang ada atau menyewa traktor yang dimiliki oleh Tuk Penghulu. 

Selain masalah mengusahakan sawahnya secara berkesan, Lahuma juga merasa bimbang bahawa keluasan sawahnya akan semakin mengecil apabila nanti diagihagihkan kepada anak-anaknya yang tujuh itu. Bukan itu sahaja, kegiatan mengadai tanah juga terjadi kerana kesempitan wang untuk hidup. Dahulu bapanya mempunyai dua puluh relung sawah tetapi kerana tergadai kepada Cina, tinggal empat belas relung sahaja. Beliau bemasib baik kerana empat belas relung itu menjadi miliknya kerana beliau ialah anak tunggal. Pada masa depan, Lahuma pasti anak-anaknya akan mempunyai petak-petak sawah yang semakin mengecil setelah empat belas relung sawah itu diagih-agihkan kepada mereka. 

Perjuangan Lahuma sebagai ketua keluarga telah memberikan impak yang begitu besar terhadap keluarganya sehingga akhirnya Lahuma telah kecundang akibat terpijak onak duri nibung dan akhirnya meragut nyawanya sendiri. Kedaifan dan kesengsaraan keluarga petani ini semakin bertambah buruk setelah pemergian Lahuma dan Jeha yang merupakan isteri Lahuma bersama-sama 7 orang anak perempuan mereka itu pula memikul beban dan tanggungjawab yang begitu besar dalam mengerjakan sawah dengan begitu banyak rintangan dan cabarannya. Jika sebelum ini, selalunya Lahuma yang mengerjakan sawah tersebut dengan bantuan Jeha, namun setelah pemergian Lahuma semuanya dilakukan sendirian oleh Jeha bersama anak-anaknya. Malangnya, Jeha tidak dapat bertahan dengan segala rintangan dan cabaran yang mendatang seperti banjir, serangan ketam-ketam putih dan burung-burung tiak yang memakan padi-padi di sawah tanpa Lahuma di sisinya. 

Banjir, serangan ketam-ketam putih dan burung-burung tiak ini telah menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya menjadi gila serta secara tidak langsung meninggalkan beban kepada anak-anak perempuannya terutamanya kepada Sanah yang merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut. Di sini Sanah berperanan sebagai ketua keluraga, ibu, dan ayah kepada adik-adiknya.